June 16, 2014


Umrah, suatu perjalanan spiritual

 

Mulanya di sini…

Alhamdulillah, pada 12 Jun 2013 saya telah dijemput oleh Yang Maha Kuasa mengerjakan ibadah umrah bersama isteri dan keluarga. Ibadah yang memang telah dirancang sejak tahun lalu akhirnya direstui Allah melalui agen UTAS. Dan catatan pendek ini pastinya bukanlah luahan keseluruhan rasa sepanjang perjalanan bahkan sekadar coretan kenangan paling berharga buat saya.

Perjalanan kami bermula pada hari Rabu. Seawal jam 11 pagi kami telah berkumpul di KLIA ditemani kedua-dua belah keluarga tercinta. Rasa sayu begitu terasa terutama ketika memeluk Ummi sebelum berangkat. Dan memeluk Ummi bukanlah kelaziman saya sebelum ini. Saya berasa sedikit goyah pabila kaki mula melangkah ke balai berlepas mengenangkan apakah yang bakal menanti saya ‘di sana’ dan apa yang saya tinggalkan di sini. Cukup bersediakah saya?

Di dalam pesawat saya sempat menghabiskan dua juzu’ ayat suci al Quran. Bukan apa, cita-cita saya adalah mengkhatamkan alQuran sepanjang 15 hari perjalanan ibadah saya. Saya harap cita-cita ini berjaya. Cuma agak janggal apabila melihat ke luar pesawat dan langit masih cerah sedangkan perjalanan sudah memakan masa 6 jam.

 

Madinah, Bandar Bercahaya…

Jam 7.40 malam kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah, setelah transit di Riyadh selama satu jam. Keadaan agak kelam kabut kerana kurang penunjuk arah baik melalui sign board mahupun pegawai bertugas. Nasib kami baik apabila pegawai imigresen memberi keutamaan kepada rakyat Malaysia dan segala urusan berjalan lancar. Terdengar beberapa perkataan Melayu diucapkan mereka seperti “Malaysia Bagus, Terima Kasih dan Jalan”.

Lebih kurang jam 10 malam kami tiba di Elaf Taiba, penginapan kami sepanjang berada di Madinah. Masuk ke bilik, saya selak tabir langsir dan alangkah kagumnya saya melihat Masjid Nabawi tersergam di depan mata. Rupa-rupanya hotel kami berada betul-betul di salah satu pintu masjid. Jelas kelihatan kubah hijau yang di bawahnya terletak makam rasul. Hati begitu terharu dengan peluang yang Allah beri kepada saya. Saya panggil isteri dan ibu mentua. Masing-masing tergamam seraya mengucapkan subhanallah. Ya Allah, Engkau telah menjemput kami dan menempatkan kami di sisi masjid yang mulia ini. Sesungguhnya air mata kami tidak mampu menebus segala nikmat yang Engkau berikan ini, ya Allah.

Masjidinnabawi dari bilik penginapan kami

 

Seketika, kami turun ke masjid untuk menunaikan solat jamak ta’khir. Hati tidak putus memuji kebesaran Allah yang telah mengizinkan kami menjejak kaki ke Kota Madinah yang Bercahaya. Sungguh Masjidin Nabawi adalah masjid paling besar pernah saya kunjungi. Mencari pintu masuk wanita sahaja memerlukan kami berjalan selama hampir 15 minit. Saya bersama anak saudara mengelilingi masjid. Rasanya belum puas melihat masjid kesayangan nabi ini. Baik binaannya, keagungannya mahupun ummat yang menghidupkannya…segalanya terasa agung.

Kami tiba di Babussalam. Hati terasa berdebar. Kami masuk dan menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid serta solat jamak. Sempat juga saya menunaikan solat taubat dan solat hajat. Di akhir solat, saya sujud syukur. Syukur atas kesempatan yang Allah berikan kerana memilih kami datang ke sini. Air mata terasa begitu murah. Dan saya tidak pernah berasa malu menumpahkannya di rumah Allah ini.

Sekonyong terdengar sedikit keributan di hujung saf. Oh, rupanya itulah Raudhah, tempat letaknya mimbar nabi dan kawasan yang dikisahkan sebagai tempat mustajab berdoa. Patutlah manusia berpusu-pusu mengambil kesempatan untuk bersolat dan berdoa di sana. Ya Allah, adakah aku pantas berada di sana, sedangkan hambaMu ini penuh dengan dosa? Ya Basit, Ya Wasi’ Engkau mudahkanlah urusan hambaMu ini. Engkau berilah peluang untuk aku solat di sana. Saya bertawakkal dan melangkah ke pinggir Raudhah. Tiada ruang kosong untuk bersolat, hatta untuk berdiri menunggu giliran. Manusia kelihatan seperti tidak mahu berganjak, sedangkan yang masih menunggu semakin ramai. Saya sempat mengerling jam tangan, “sudah pukul 12.30 malam dan manusia masih ramai”.

Sesungguhnya Allah maha Berkuasa dan pasti Dia tidak mensia-siakan harapan hambaNYa. Pada waktu ramai Jemaah yang ditegur untuk mempercepatkan solat dan meringkaskan doa oleh sang pengawal, tiba-tiba terpacul perkataan, “Haji, Malizia, solat”. Seorang pengawal berbaju coklat berdiri di depan saya. Dia menyediakan ruang untuk saya bersolat! Cukup-cukup untuk saya bersolat dengan selesa. Ya Allah, nikmat apakah ini? Pada sujud terakhir, antara doa saya adalah memohon agar Allah muliakan tanah haram ini dan mereka yang memuliakannya. Saya sangat bertuah menjadi rakyat Malaysia.

Selesai salam, pengawal tadi sudah beredar dan tiada seorang pun manusia yang melangkah kepala saya ketika sujud. Air mata merembes lagi. Saya terus bangun demi memberi laluan kepada Jemaah lain untuk bersolat dan berdoa. Prinsip saya, Allah telah memberi saya peluang, saya patut berkongsi dengan manusia lain.

Saya kemudiannya menyertai Jemaah lain beratur untuk menziarahi maqam kekasih Allah. Hati sekali lagi terasa berdebar. Benarkah ini Ya Allah? Aku akan menemui kekasihMu? Melewati seakan pintu gerbang pertama, hati semakin tidak keruan. Saya tekap tangan kanan di dada. Terasa berombak kuat. “Assalamualaika Ya Rasulallah warahmatullahi wabarakatuh.” Saya tahan air mata daripada jatuh. Aku sampaikan salam saudara maraku di Malaysia kepadaMu wahai kekasih Allah. Ya Allah sampaikan hajat kami semua untuk sampai ke sini.” Begitu lebih kurang doa saya. Dua orang pengawal sibuk memarahi Jemaah di hadapan saya yang mengangkat tangan untuk berdoa. Katanya maqam bukanlah tempat untuk berdoa, tetapi berdoalah di raudhah. Tiba giliran saya, pengawal-pengawal ini tersenyum. Tiada suara teriakan mahupun suara marah. Malah mereka tersenyum kepada saya.

 

Saya berbangga menjadi warga Malaysia…

Kami bertemu semula di pintu khas untuk wanita. Sempat juga kami bergambar kenangan.  Cuma agak aneh dengan kehadiran belalang dalam jumlah yang banyak. Belalang ini seakan belalang kunyit dengan saiz yang besar tetapi berwarna coklat pudar. Walaupun banyak dan ada yang terpijak tetapi tidaklah pula terdengar ada jeritan ketakutan daripada Jemaah wanita.

Oh ya, di Masjid Nabawi sekarang sudah disediakan tong-tong berisi air zam zam yang dibawa dari Mekah. Ada yang telah disejukkan dan ada yang tidak disejukkan. Carilah tong yang bertulis Ghair Mubarrad untuk mendapatkan air zam zam yang bersuhu bilik. Saya tidak melepaskan peluang untuk memimun segelas air zam zam setiap kali masuk dan keluar masjid.

Suatu keadaan yang dapat saya pastikan adalah layanan warga Madinah dan Jemaah lain terhadap warga Malaysia. Andai bertemu mereka pantas menyapa, “Malisia? Malisia Bagus…” bahkan beberapa ungkapan dalam Bahasa Melayu sudah boleh dituturkan baik oleh para peniaga mahupun sesama Jemaah. Andai mahu berurusniaga, perkataan “sepuluh riyal, murah-murah, mari tengok, belilah, masuk…masuk,” sudah menjadi kelaziman.

Dan di tanah Arab ini, tiada sen digunakan, nilai terkecil adalah not 1 riyal manakala paling besar adalah not 1000 riyal. Semua barang biasanya akan bermula dengan harga 10 riyal sedangkan kita boleh tawar menawar dengan menggunakan Bahasa Melayu mudah. Andai bisa menggunakan beberapa perkataan Arab, mereka pasti lebih gembira dan akan menurunkan sedikit harga lagi.

Pun begitu, ada satu insiden pergaduhan ketika kami membeli jubah dan abaya di Madinah. Kejadian berlaku betul-betul di hadapan kedai kami berkunjung. Beberapa orang lelaki Arab mulanya sekadar bertikam lidah. Tetapi lama kelamaan melarat kepada insiden ejek mengejek dan mula bertumbuk. Bayangkanlah mereka yang bertubuh seperti Encik Muslim bertumbuk. Dalam hati saya berasa kecut juga terutama apabila pergaduhan mereka mula melarat ke dalam kedai yang kami kunjungi. Mujurlah para pekedai pantas menolak mereka keluar. Dan yang ajaibnya perkelahian mereka mengendur sejurus seseorang mengatakan bahawa ini adalah kota Madinah, letaknya makam baginda Rasulullah dan Rasulullah pastilah tidak menyukai umatnya bergaduh sesama sendiri.

 

April 29, 2014

Sunan – Nanggroe San Kembara
 
Aku mengaku sengaja melengahkan pembacaan buah tangan terbaru RAM ini. Walau telah lebih sepurnama Sunan di dalam genggaman, (kredit kepada Wan-Dyani atas usaha ke Karangkraf Shah Alam) hati ini seolah-olah ingin menguji kesabaran menyantap hidangan teristimewa RAM. Akhirnya, dua hari lalu aku memulai menatap helaian pertama.
Sunan, seperti yang diwarwarkan penulis dan sebahagian besar RAMIANS, adalah prolog kepada pengenalan Saifudin Jalis. Andai anda peminat tegar Sunan, sebahagian besar karakter dan jalan cerita tidak perlu diperkenalkan semula. Dan itulah jua yang disajikan oleh RAM. Tiada pengenalan meleret-leret dan jalan ceritanya padat serta lancar. Namun, aku percaya tidaklah menjadi kekeliruan kepada peminat baru untuk mengikuti sayemabara ini kerana ianya bersifat eccentric dan santai.
Aku terperasan yang gaya prolog ini ada persamaan dengan filem epik Star Wars yang mana siri kedua, ketiga dan seterusnya dibikin terlebih dahulu dan permulaan kisah dikebelakangkan. Beberapa kelebihan dan advantage menggunakan pendekatan seumpama ini adalah kekuatan sesuatu watak itu dapat diperteguhkan andai terdapat kelonggaran dalam karya-karya yang lalu. Plot cerita dan beberapa babak yang agak tergantung juga dapat diperkemaskan melalui pendekatan ini. Namun, terdapat juga beberapa cabaran yang mungkin menjadi gendala kelancaran seluruh ceritera iaitu keaslian cerita dan watak. Mungkin sahaja pada karya yang lebih baru, watak menjadi ‘terlebih matang’ sedangkan ia adalah dipermulaan cerita.
Tetapi keresahan itu tidak berlaku di dalam Sunan. Prequel ini hampir sempurna dan tidak langsung mengecewakan, sekurang-kurangnya kepada aku. Membacanya, ibarat mengulangkaji segala plot dalam lagenda Sunan yang enam naskhah itu. Dengan pengenalan watak baru, Engku Aminah, kerabat istana Pagar Ruyung, Sunan dirasakan sangat relevan dan munasabah. Hanya sanya, RAM suka menggantung segala minat dan imaginasi pada helaian terakhir dengan debaran siapa sebenarnya Engku Aminah, sedang rahsia itu hanya diketahui oleh Ratu Sulaman…oh, sesungguhnya gantungan ini sangat meresahkan sedang tidak diketahui bilakah kisah epic ini akan bersambung.
 
 

February 13, 2014

Ranggau


Ranggau

 
Antara hasilan awal RAM ini ternyata mempunyai ‘sengat’ tersendiri terutama pada separuh kedua novel. Mengisahkan mengenai Rusdi Salleh, seorang penulis novel penyiasatan yang diupah mencari anak jutawan Sabah yang hilang, Ranggau mampu membuat tidur aku tidak lena memikirkan kesudahan kisah ini. Walau agak perlahan pada awal pembacaan, RAM seolah-olah menguji kesabaran dan kesetiaan aku mengikuti segala ulahnya, sehinggakan akhirnya aku terjebak ke dalam golongan kultus ‘RAMians’. Kendati, jebakan ini bersifat baik dengan pengenalan pelbagai sudut positivism termasuklah unsur ketuhanan dan kekentalan jiwa.
Ranggau pada istilah sukuan Sabah merupakan makhluk halus yang menyesatkan manusia menerusi sifat jahat dalam diri. Atau bolehlah dikatakan sebagai syaitan yang berbisik. Dan di dalam tulisan ini, Ranggau adalah seorang doktor bedah bernama Doktor Zahid yang telah sesat akibat bersahabat dengan Benjamin, si Yahudi. Doktor Zahid telah membentuk Kim (Boon Sai) sebagai alat menjebak wanita untuk dibunuh dan diperdagangkan mata serta buah pinggangnya. Dan antara mangsanya adalah Janet, adik kepada kekasih Doktor Zahid sendiri, Ursula.
Selain sarat dengan unsur suspen, kasih sayang serta kekeluargaan, RAM tidak pernah lupa mendakwah pembaca melalui konsep keislaman terutama keutamaan solat dan berdoa serta berserah kepada Allah, tuhan yang satu. Bayangkan sahaja seorang novelis terpaksa menyelesaikan kes kehilangan Janet dan membongkar jenayah licik perdagangan organ berkat tawakalnya kepada Allah.
Secara keseluruhannya, Ranggau menyediakan platform awal kepada peminat RAM mengenai gaya penulisan menerusi kaca mata ‘aku’ yang banyak bermonolog. Ini dapat dilihat melalui hasilan karya ‘Aku Bercerita’ yang menemui peminat pada tahun 2012. Membaca Ranggau, walau telah sekian lama dihasilkan, tetap memberi kepuasan kerana aku merasakan ‘keikhlasan’ RAM dalam berkarya. Dan pada hari ini, nama Ramlee Awang Murshid gah di persada dunia penulisan tanah air walau rata-ratanya dikuasai penulis wanita. Aku, secara jujur mendoakan agar RAM terus aktif berkarya dan sentiasa tawadhuk kerana ilham dari Allah hanya turun kepada insan yang terpilih. Selamat Maju Jaya kepada RAM.

Prosedur tuntutan insuran kebakaran rumah


Prosedur tuntutan insuran kebakaran rumah

Tiada siapa yang mengharapkan kebakaran berlaku ke atas premis kediaman, sama ada yang disewakan apatah lagi yang diduduki sendiri. Penulis sendiri pernah menghadapi situasi ini dan ianya adalah suatu pengalaman yang mencabar. Dan dalam kes penulis, ianya berlaku ke atas rumah yang disewakan.

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah memastikan kediaman kita diinsurankan. Pun begitu, membuat tuntutan insuran, hatta melibatkan apa pun, sama ada premis mahupun kenderaan, prosesnya amatlah panjang dan kadang kala merumitkan. Apa yang perlu ada ialah kekuatan mental dan kesabaran yang tinggi.

Ketika mula-mula penulis menerima panggilan daripada penyewa berkenaan kebakaran ini, penulis berasa amat cemas. Pastikan sama ada kebakaran tersebut melibatkan kecederaan atau meragut jiwa. Andai tiada, lekaslah membuat laporan polis. Laporan polis ini lebih baik dibuat bersama pemilik dan penyewa premis. Simpan salinan laporan tersebut dan dapatkan nombor pegawai polis berkenaan bagi tujuan rujukan.

Langkah kedua, buat laporan kebakaran di balai bomba terdekat. Ini agak tricky kerana biasanya kita lebih alert dengan balai polis berbanding balai bomba. Dalam kes penulis, balai bomba terdekat adalah balai bomba Sungai Buloh. Dapatkan borang laporan kebakaran dan pastikan laporan kita telah dimasukkan ke dalam sistem komputer Jabatan Bomba dan Penyelamat. Biasanya laporan ini akan dikeluarkan dalam masa dua hari.

Dalam masa yang sama, laporkan berkenaan tuntutan insuran kepada penyedia insuran. Syarikat insuran akan melantik adjuster bagi membuat penilaian kerosakan dan dokumentasi tuntutan. Adjuster akan menetapkan tarikh dan masa untuk melihat premis yang telibat bersama pemilik. Pada lawatan ini, eloklah sekiranya pemilik membawa bersama kontraktor pembaikan rumah untuk sama-sama membuat anggaran kos pembaikan. Bill of Quantity (BQ) bersama gambar perlu disediakan untuk tujuan tuntutan kemudian.

Seterusnya, adjuster akan mengemukakan surat meminta dokumen Perjanjian Jual Beli (Sale and Purchase Agreement) premis dan Perjanjian Sewaan (Tenancy Agreement). Dokumen SnP ni agak sukar didapatkan kerana biasanya ianya di bawah simpanan pemberi pinjaman. So, hubungi bank untuk mendapatkan salinan SnP. Biasanya pemilik akan dikenakan bayaran RM10. Manakala Tenancy Agreement ini boleh dibuat ketika penyewa mula-mula menduduki premis. Andai tiada, usah risau, kerana perjanjian standard boleh didapati daripada firma guaman. Penulis mendapatkannya secara percuma daripada teman-teman peguam, hehe.

Berbalik kepada laporan kebakaran daripada balai bomba berdekatan, pemilik perlu mendapatkan laporan forensik kebakaran. Bagi negeri Selangor, laporan boleh didapati dari balai bomba seksyen 15, Shah Alam. Laporan ini boleh didapati dalam masa yang singkat. Setelah itu, bawalah laporan kebakaran dan laporan forensik ke ibu pejabat balai bomba negeri. Jika di Selangor, ianya terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam. Satu laporan rasmi akan dikeluarkan dengan bayaran RM50, rasanya.

Seterusnya, compile kesemua dokumen; Borang Tuntutan, Laporan Bomba, SnP, Tenancy Agreement, BQ dan gambar kepada Adjuster. Sekarang, kejarlah adjuster kerana mereka biasanya mengendalikan tuntutan lain juga dalam masa yang sama. Jangan segan untuk menghubungi mereka seminggu sekali untuk mengetahui perkembangan tuntutan kita. Biasanya adjuster akan stick kepada kos yang dinyatakan di dalam BQ, so kita bolehlah mengarahkan agar kontraktor memulakan kerja pembaikan memandangkan premis kita didiami oleh penyewa. Kesian penyewa andai terpaksa berpindah sementara.

Dalam kes penulis, keseluruhan tempoh premis terpaksa dikosongkan adalah hampir dua bulan. Berbincanglah bersama penyewa berkenaan bayaran sewa bulanan. Tolak ansur adalah jalan terbaik.

Dalam masa mengejar adjuster ini, sekali sekala cubalah hubungi syarikat insuran juga untuk memastikan tuntutan kita adalah di dalam proses bayaran. Bukan apa, biasanya adjuster ini terdiri daripada pekerja sambilan dan kemungkinan untuk mereka bertukar pekerjaan adalah tinggi. Dalam kes penulis, adjuster telah bertukar ke Johor Bahru sedangkan tuntutkan masih belum diselesaikan. Nasib baik penulis terus mengejar syarikat insuran. Akhirnya bayaran dibuat melalui pindahan akaun dan jangan lupa untuk membayar kontraktor seperti yang dijanjikan.

Walaupun tuntutan ini kelihatan rumit dan mengambil masa yang panjang, tetapi pemilik boleh melakukannya sendiri tanpa mengupah peguam. Pada masa yang sama, kita dapat pengalaman yang bukan selalu kita dapatkan. Semoga catatan ini dapat memberi sedikit manfaat kepada anda semua.

 

January 27, 2014

Semangat Hutan


Semangat Hutan Tombiruo (SH)

 
Siri kedua dalam trilogi legenda Tombiruo ini meneruskan tradisi thriller RAM sebagai sebuah novel yang penuh debar dan intrigue. Pada SH, pembaca dihidangkan dengan pelbagai pengalaman cemas penuh imaginatif bermula dari insiden rampasan jet Tan Sri Nasir yang ditumpangi Wan Suraya sehinggalah peristiwa survival di belantara Keningau dan Sandakan, sesat dan diburu makhluk sadis bernama Rogon.
SH meneruskan pematangan watak Amiruddin memburu cinta Wan Suraya yang tewas di tangan Rogon, akhirnya. Juga diperkenalkan watak Dr. Haslia, anak saudara Tan Sri Nasir yang menaruh hati kepada Ejim. Melalui SH, RAM perlahan-lahan mengalihkan tumpuan cerita daripada Amiruddin kepada kembarnya, Ejim. Ejim dalam SH kelihatan berhadapan dengan pelbagai rintangan melibatkan kejahatan Rogon, tetapi soal berkaitan hati jua yang lebih berat. Ini jelas ketika pertemuan Amirudin-Wan Suraya sedangkan wanita itulah yang pertama mengetuk hati lelakinya.
RAM seakan tidak pernah melengah-lengahkan jalan cerita dengan emosi sedih yang berpanjangan apabila pada helaian-helaian terakhir sempat juga beliau menyelitkan peristiwa Ejim ‘dicolek’ oleh Dr Haslia dan Dr Rashid untuk dirubah wajahnya yang bukan manusia itu. Gantungan kisah ini membuatkan aku terpaksa menyelak semula Tombiruo Terakhir untuk menyegar kembali jalan cerita Tombiruo ini. Rupanya pada akhir cerita, Wan Suraya berkahwin dengan Tan Sri Nasir, Dr Haslia berkahwin dengan Dr Rashid dan Ejim? Hehe…

January 15, 2014

ADAM

ADAM
 
 
 


Menghasilkan sebuah karya yang mampu menarik perhatian marga adalah suatu kelebihan. Tetapi mengekalkan daya tarikan itu kepada karya selanjutnya agar marga kekal salute adalah kisah lain. Dan terus- terusan mengikat kesetiaan pembaca bahkan mencetuskan fenomena adalah suatu yang extraordinaire dan outstanding. Tetapi itulah RAM dengan segala kesaktiannya mengikat kejap segala kesetiaan peminatnya dengan karya masterpiece sedang kekal dengan gayanya yang tersendiri.
ADAM (Aku Darah Anak Malaysia) adalah bukti mahakarya RAM di dalam menghasilkan fiksyen lokal beronakan global. Kiranya inilah contoh paling dekat bagi menggambarkan erti glokal yang pernah disebut oleh seorang pemimpin Negara tidak lama dahulu. Ternyata percaturan RAM memilih gaya penceritaan berteraskan politik antarabangsa di mana teraju utamanya adalah watak dari Malaysia menjadikan ADAM sebuah thriller sebenar tempatan.
Bayangkan sahaja bagaimana karekter ASP Hilman ‘dimatangkan’ dari seorang polis pasukan gerak khas yang pernah berjaya dalam misi menyelamatkan pegawai tinggi semasa Perang Bosnia, mematahkan cubaan pengganas menawan Menara Berkembar KLCC dan akhirnya dia sendiri diperangkap oleh secret service dalam kes membabitkan skandal Presiden Amerika. Biar betik…American President tu…
Begitu kedengaran agak mengarut, tetapi demi sebuah fiksyen yang thriller sifatnya, RAM begitu bijak mengimbangi jalan cerita agar tidak tergelincir dari landasan logika akal. RAM menggunakan pengaruh watak sampingan Mia Sara (pegawai kedutaan), Gabriel (Malaysian Intelligent Agency) dan Daljit Singh (wartawan Harian Metro) bagi ‘memunasabahkan’ jalan cerita dan melengkapkan resepi emosi dengan kehadiran watak Nur Aliah, Jeslina, Haslinda dan kedua orang tua Hilman.
Apa pun natijahnya, keputusan Hilman meninggalkan ‘cenderamata’ kepada Mr. President dengan sengaja menembak tapak tangan kanan Presiden adalah sesuatu yang sangat eccentric, kerana sehingga hari ini, identiti penembak curi itu masih kekal misteri. Secara keseluruhannya, ADAM adalah satu lagi kejayaan gemilang bukan sahaja buat RAM, bahkan selayaknya diketengahkan sebagai karya nasional. Dan semestinya kekuatan ADAM adalah hasil penelitian penulisnya terhadap beberapa sumber seperti melalui movie, bantuan para penterjemah  (Arab dan English) serta aura kasih sayangnya yang tidak pernah menjemukan. Maka tidak hairanlah andai ADAM mampu mencetus minat para marga untuk kembali meminati bidang kepolisan sebagai karier masa depan (ala…seperti kita ditanya mengenai cita-cita zaman sekolah rendah dahulu), dan seterusnya membangkitkan semangat patriotisme terhadap kedaulatan Malaysia. Kerana ADAM sememangnya adalah sesuatu…

‘PENUNGU RIMBA’ TOMBIRUO


PENUNGU RIMBA’ TOMBIRUO



Aneh apabila membaca bahagian pertama daripada trilogi Tombiruo ini memandangkan aku telah membaca Tombiruo Terakhir tiga tahun lepas. Pelik juga kerana aku mengambil masa yang lama (bahkan sehingga dua bulan) untuk menyelesaikannya. Bukanlah kerana jalan ceritanya kurang menarik, tetapi kerana separuh hatiku mengatakan ‘aku dah tahu endingnya, buat apa baca openingnya?’. Tetapi RAM bukan sebarang penulis. Mengikuti hasil karyanya, biar dari tajuk yang mana pun, kita pasti terpukau, sekali gus menolak segala prasangka bahawa ‘kita perlu baca ikut urutan tahun novel RAM dikeluarkan’.
Pada ‘Penungu Rimba’ Tombiruo (aku sengaja ringkaskan Tombiruo 1 atau T1), RAM memperkenalkan pendokong-pendokong utama seperti Amirudin, Ejim, Wan Suraya dan keluarga Tuan Berham. Watak-watak inilah yang kemudiannya berkembang dan matang di dalam karya T2 dan T3/TT (Tombiruo Terakhir). Apa yang aku suka dengan gaya penulisan RAM adalah dia berusaha untuk kelihatan adil terhadap semua watak. Bayangkan, mengimbangi watak kembar, Amirudin-Ejim, sahaja memerlukan pendekatan kreatif kerana kembaran ini hidup dalam suasana yang totally different. Seorang di hutan Keningau dan seorang lagi sebagai menantu orang kaya, Tuan Berham.
Dan aku juga suka watak Wan Suraya, seorang wartawan jenayah, yang gigih mencari berita dan menyiasatnya sehingga ke akar umbi. Walaupun ada sedikit kekeliruan apabila Wan Suraya ditukarkan ke seksyen sukan tetapi entah bagaimana dia mampu menulis kembali dalam ruangan jenayah selepas membongkar kes Omar. Mungkin kerana special relationnya dengan Encik Khalid?
Dan RAM tidak ketinggalan menyelitkan unsur drama sebagai sebahagian inti dalam T1 melalui sejarah kelahiran Amirudin-Ejim. Tarawit, anak Poyonggut si penghulu – rogol Tobugi – lahir anak kembar – Nenek Monsiroi, nenek Ondu membidan kelahiran itu. Ejim dihanyutkan di sungai dan dipungut oleh Pondulou manakala Amirudin dijaga oleh Gitom yang kemudiannya menyerahkan Amirudin ke rumah anak yatim.
Sedangkan Omar, watak antagonis berlagak baik dengan konon-konon membantu urusan perniagaan keluarga Tuan Berham sebagai sepupu sehingga bejaya memenangi kepercayaan Bonda. Tetapi dialah syaitan bertopengkan manusia yang sanggup membunuh 3 wanita dan 2 lelaki serta mencolek bahkan mengedar dadah. Akhir hidupnya Omar terpaksa berhadapan dengan Ejim dan tumpas di Hutan Keningau.

Pada T1 ini, aku meletakkan RAM sebagai berusaha untuk membina pengenalan terhadap karekter dan cerita. Pendekatan ini adalah tindakan bijak terutama apabila watak utama Ejim bakal mewarnai keseluruhan trilogi sebagai Tombiruo. Aku suka apabila RAM memilih untuk mengetengahkan watak penunggu hutan yang telah memeluk Islam. Dan Ejim kekal menetap di hutan kerana wajahnya yang bukan berwajah manusia.
Dan satu lagi gaya penulisan RAM yang unik adalah menggantung cerita di helaian-helaian terakhir. Meningalkan pembaca dengan perbagai persoalan dan menjadikan kita tertanya-tanya. Sesungguhnya pancingan ini sangat mengena!

November 11, 2013


Tuesdays with Morrie



Hari ini aku membaca sebuah buku kecil, Tuesdays with Morrie (TwM). Kendati pun kecil saiznya, namun TwM membawa satu isu besar kepadaku. Buktinya, aku tak dapat meringkaskannya dalam beberapa perenggan seperti buku-buku sebelum ini. Serasa terlalu banyak ‘isi penting’ yang perlu disertakan dan rugi jika ditinggalkan. Begini catatanku…

Mitch Albom, seorang  kolumnis sukan yang berjaya di Detroit Free Press telah berkesempatan mendampingi bekas professornya,  Morrie Schwartz yang menderita penyakit amyotrophic lateral sclerosis (ALS). Morrie menghabiskan hari-hari terakhirnya dengan berkongsi sebanyak mungkin mengenai falsafah hidupnya kepada orang lain dan hampir melupakan penyakit yang dideritainya. Dan sesi khas antara Mitch dan Morrie diadakan setiap Selasa selama 14 minggu. Berikut adalah beberapa pendapat dan pandangan Morrie yang kaya dengan pengalaman untuk dikongsi bersama pelajarnya, Mitch, juga buat kita semua;

·         Dunia – Perkara paling penting dalam hidup adalah belajar bagaimana hendak memberi kasih sayang dan menerima kasih sayang. Kita sangka kita tidak layak menerima kasih sayang, kita juga sangka jika menerima kasih sayang kita menjadi ‘lembut’. Tetapi seorang lelaki bijak bernama Levine pernah berkata, ‘Kasih sayang adalah satu-satunya perbuatan yang wajar’.

 

·         Mengasihi diri sendiri – Bukankah lebih elok menetapkan had masa dalam sehari bagi mengenangkan nasib diri. Hanya beberapa minit yang memilukan, kemudian menempuh hari itu seperti biasa.

 
 

·         Penyesalan – Kita terlalu terkongkong dengan perkara-perkara egois, kerjaya, keluarga, menambah kekayaan, mengurus gadai janji, membeli kereta baru, melakukan kerja-keja rencam di rumah. Kita sibuk dengan ratusan perkara kecil hanya bagi meneruskan kelangsungan hidup. Jadi kita gagal menjadikan tabiat di mana kita sepatutnya berdiam diri seketika dan menilai pencapaian hidup kita dan bertanya, ini sahajakah? Ini sahajakah yang aku mahu? Ada apa-apa lagi yang kurang? “Kamu perlu seseorang bagi membimbing kamu kearah itu. Ia tidak mungkin berlaku secara tiba-tiba.”

 

·         Kematian – “Saya sendiri tidak tau apa erti sebenar ‘kemajuan kerohanian’. Tetapi saya tahu kita kekurangan dalam hal itu. Kita terlalu terlibat dengan hal-hal kebendaan, dan ia tidak sedikit pun memberi kepuasan kepada kita. Hubungan kasih sayang sesama kita, alam sekeliling kita, tidak pernah mengendahkannya.

 

 

·         Keluarga – Penyajak Auden, “Saling sayang menyayangi atau hidup menjadi tidak bermakna.” Rob dan Jon mahu berhenti kerja dan menjaga bapanya, Morie, tetapi ini jawapan Morie. “Jangan berhenti dengan hidup kamu. Jika tidak, penyakit ini akan memusnahkan kita bertiga, bukan hanya saya seorang.”

 

·         Perasaan – “Mengasingkan perasaan”. Biarkan diri mengalami perasaaan sakit, sedih, derita dengan membenarkan diri kita menyelaminya jauh ke dalam, malahan sampai ke dasar, kita akan benar-benar merasainya. Kita akan tahu apa itu sakit. Kita akan kenal apa itu kasih sayang. Kita akan kenal apa itu kesedihan. Hanya selepas itu kita boleh brkata, “Hah…aku pernah merasai perasaan itu, sekarang aku perlu ‘keluar’ daripada perasaan itu buat seketika.”

 
 

·         Duit – “Satu kekeliruan besar berlaku dalam negara ini adalah berkaitan dengan apa yang kita mahu, berbanding apa yang kita perlu. Kita perlukan makanan, kita mahukan aiskrim coklat. Kita mesti ikhlas dengan diri sendiri. Kita tidak memerlukan kereta sport baru, dan kita tidak memerlukan rumah paling besar. Hakikatnya, kamu tidak mendapat kepuasan daripada benda-benda itu. Apa yang betul-betul dapat memberi kepuasan adalah menawarkan kepada orang lain apa yang kamu dapat beri”.

 

·         Cinta yang berkekalan – ‘Love is how you stay alive’. Morrie sentiasa menyapa dengan kata,”Ah, sahabat saya…”. Apabila bercakap, pandang ke mata dan mendengar betul-betul apa yang kamu katakan. Seolah-olah kamulah satu-satunya orang dalam dunia ini.

 


·         Perkahwinan –“Ada beberapa peraturan yang saya tahu mengenai kasih sayang dan perkahwinan yang boleh diikuti. Sekiranya kamu tidak meghargai pasangan kamu, kamu akan menghadapai banyak masalah. Sekiranya kamu tidak tahu bertolak ansur, kamu akan menghadapi banyak masalah. Sekiranya kamu tidak mampu bercakap secara terbuka apa yang berlaku di antara kamu, kamu akan menghadapi masalah. Dan sekiranya kamu tidak mempunyai nilai-nilai kesepakatan, kamu akan menghadapi banyak masalah. Nilai-nilai kamu berdua mestilah serupa. Dan yang paling penting di antara nila-nilai itu, kepercayaan kamu terhadap pentingnya perkahwinan kamu. Secara peribadi, saya rasa perkahwinan adalah perkara penting yang perlu dilalui, dan kamu akan kerugian sekiranya tidak mencubanya.”

 

·         Budaya – Manusia akan berkeras apabila mereka terancam. Bentuk budaya kecil kita sendiri. Contohnya seperti perempuan yang tidak memiliki tubuh yang kurus ataupun orang yang tidak ada banyak wang sering menganggap dirinya kekurangan. Itu sebenarnya apa yang budaya kita mahukan kita percaya. Saya tidak mempercayai semua itu. Cara mengatasinya, bukan lari daripadanya. Kamu terpaksa berusaha membentuk budaya kamu sendiri. Tidak kira di mana kamu tinggal, kekurangan utama manusia adalah ‘rabun dekat’. Kita tidak melihat kemampuan diri sendiri. Kita patut melihat kepada potensi diri kita sendiri, menjangkau seberapa jauh yang boleh bagi mencapai apa yang kita mampu lakukan. Pada permulaan hidup, semasa bayi kita bergantung kepada orang lain untuk hidup bukan? Dan di penghujung hidup, kamu memerlukan orang lain bagi bergantung hidup, bukan? Tetapi inilah rahsianya, di antara kedua-keduanya, kita juga saling memerlukan.”

 


·         Kemaafan – “Maafkan diri kamu sendiri sebelum mati. Kemudian maafkan orang lain.” Berdamailah dengan diri sendiri. Maafkan di atas perkara-perkara yang sepatutnya kita lakukan tetapi tidak kita lakukan. Jangan tunggu, bukan semua orang mendapat waktu, bukan semua orang bernasib baik.”

 

·         Hari yang sempurna – “Pasrah menerima kematian. Sekiranya kita tahu, akhirnya kita dapat menerima kematian itu dengan pasrah, barulah kita dapat lakukan urusan yang paling susah iaitu berdamai dengan kehidupan. Selagi kita boleh menyayangi antara satu sama lain, dan ingat perasaan sayang yang kita ada, kita boleh mati, tetapi tidak berpisah. Segala cinta dan kasih sayang yang kita pupuk masih ada di sana. Segala kenangan masih ada di sana. Kita terus hidup – dalam hati setiap orang yang pernah kita sentuh dengan kasih sayang.”

Komen aku, kebanyakan perkara yang diluahkan oleh Morrie telah diterangkan dengan jelas di dalam Islam. Dan kita patut bersyukur untuk itu. Cumanya, setakat mana kefahaman dan dan penghayatan kita, adakah sebaik Morrie?

October 1, 2013


MAGIS


 
Magis adalah karya terkini daripada RAM khas untuk peminat tegarnya. Magis menghimpunkan hero-hero daripada karya terdahulu seperti Saifudin Jalis aka Laksamana Sunan, Mikhail aka Mahmud Fadhil, Carlos aka Lebai Piut, Tombiruo aka Ejim dan Ryu-Watanabe aka Risham. Masing-masing telah diheret ke dunia hujung waktu melalui fenomena halo.
Maka masing-masing berserakan di beberapa lokasi berbeza seperti Buyuk Docia, Buyuk Rimsiz dan Buyuk Bulsinatur. Dunia hujung waktu adalah dunia pasca ledakan atom di mana tamadun telah musnah dan dikuasai peraturan rimba, siapa yang kuat, dialah raja. Dan raja dunia hujung waktu adalah Tuan Turak yang menjadi boneka sang Dajjal.
RAM bijak mencaturkan isyarat-isyarat kiamat dengan memasukkan elemen keruntuhan sifat beragama, kebejatan akhlak, kemabukan kuasa dan kecanggihan teknologi. Dan watak-watak musafir perentas waktu ini diberi peluang menghirup roh yang sama warga dunia hujung waktu. Hikmahnya? Setiap watak akhirnya menemui jati diri mereka yang murni, meski pernah bergelumang dosa dan ketelanjuran pada kehidupan zaman ini.
Melalui Magis, RAM dilihat amat berhati-hati dalam mengimbangi peranan setiap watak memandangkan setiap satunya adalah istimewa di hati pembaca. Kendati pun, saya dapat menangkap antara kelima-lima watak ini, RAM ‘terlalu’ menyayangi watak Sunan. Dan ini dapat dihidu sedari awal penceritaan yang mengisahkan peperangan antara Sunan dan Trang, wakil Raja Siam di Negeri Kayangan Bumi dan diakhiri dengan pertempuran Sunan dan Si Dajjal.
Sifat favoritism ini dipanjangkan lagi dengan kemunculan karya selepas ini berkisarkan Sunan, the beginning.
Secara keseluruhannya, Magis bukan sekadar pengumpulan watak hero yang bersifat alumni semata, kerana ianya menyuntik kesedaran bahawa dunia ini sudah terlalu tua dan menghadapi kiamat. Pelbagai tanda dan alamat telah pun berlaku dan RAM mengajar kita secara halus melalui mata hero-hero kita ini. Andai sebelum ini barat menyajikan The Avengers yang kononnya penuh kesaktian, Magis tidak pernah kalah kerana magisnya menyentuh nubari setiap peminat RAM…

Rahsia Perindu



Rahsia Perindu (RP) saya kategorikan sebagai second to Fisyen 301. Sebuah karya yang sangat intrigue, sangat challenging dan tidak jemu disantap. Dan satu lagi elemen yang saya belajar daripada banyak karya RAM, sometimes the blurb doesn’t do justice. Buktinya? Blurb RP mungkin hanya mengisahkan tentang Amylia sebagai peguambela Leopard, tetapi jalan cerita RP sangatlah berbeza.
Pembaca akan dipancing dengan watak siapakah Maria dan Harris, dan disasarkan sedikit dengan watak Jefry dan Rashdan, Junaidah dan Liza. Tetapi peneraju utama adalah Dr. Azlan! Bagi saya Dr Azlanlah watak utama dalam RP kerana beliau dapat menyelami jiwa sebenar Leopard dan ‘membimbing’nya kembali kepada jalan normal. Jalan cerita RP amat berbelit umpama ular melingkar. Terlalu banyak misteri yang perlu dirungkai dan hanya Dr Azlan yang memegang kuncinya.
Hanya pada lembaran-lembaran akhir barulah RAM ‘sudi’ membongkar segala misteri dengan mendedahkan siapa sebenarnya Amylia. Dialah Leopard, dialah Maria. Cuma watak Julia (peguam sebenar) agak terlewat untuk diangkat sebagai pendokong sampingan. Pun begitu, plot cerita yang didominasi proses psikoanalisis oleh Dr Azlan menunjukkan kesungguhan RAM mengorek ilmu kejiwaan yang bersifat klinikal, bukan sekadar mainan jiwa dan usikan rasa.
Secara keseluruhannya, saya menyukai RP kerana jalan ceritanya mencabar imaginasi saya. RAM terus-terusan sahaja membiarkan kita ‘hanyut’ dalam menghayati watak Leopard, Amylia dan Maria, sedangkan mereka adalah watak yang satu. Begitu ia memeningkan, tetapi ianya adalah suatu exercise minda yang bagus! Hail RAM!

September 17, 2013

Satu Janji


Satu Janji
 

Orang tua pernah berkata; Jika kerbau dipegang pada talinya, manusia pula dipegang janjinya. Begitulah perlambangan sebuah janji dalam masyarakat Melayu. Janji adalah suatu kualiti yang sangat sacred sehingga seseorang manusia yang mungkir janji tiadalah bezanya dengan seekor haiwan.
Beitulah jua apa yang cuba dihidangkan oleh RAM dalam karya ‘Satu Janji”. Kerana sebuah janji, Adelia terpaksa berkahwin dengan Luqman yang tidak dicintainya. Tetapi kerana sebuah janji juga Luqman akhirnya mencairkan hati isterinya dan mencari susur galur sebenar jati dirinya. Biar SJ agak ringan berbanding karya RAM yang lain, semangat thrillnya masih terasa menyengat terutama dengan kehadiran watak antagonis Jay, Jimmy dan Subra.
Aku kategorikan SJ sebagai sebuah cereka dan amat sesuai andai diadaptasikan dalam sebuah telenovela yang bagus. Banyak pengajaran yang dapat dicungkil terutama berkenaan jati diri, ketabahan dan ketaatan dan sifat pasrah serta ridha. Seperti biasa, RAM menyingkap segala persoalan di akhir SJ dengan happy ending. Kiranya RAM seakan merakam sebuah karya berbentuk cereka yang padat, thrill dan tidak meleret-leret.

July 31, 2013

Ramadhan Bertamu


Ramadhan Bertamu

 


Hari itu Ramlee kelihatan amat ceria. Kepada setiap teman sepejabatnya dia memberi salam dengan senyuman yang manis. Mana tidaknya, dia baru sahaja mendapat panggilan daripada ibunya yang menyatakan hasrat ingin bertamu selama sebulan. Dengan hati yang lapang Ramlee menyambut hasrat ibunya yang dikasihi. Lagipun, sudah setahun ibu tidak bertandang ke rumah.
Ramlee memohon untuk pulang awal kepada ketua pejabatnya. Ini tidak lain adalah bagi membuat persiapan menyambut ibu tersayang. Di rumah, Ramlee bersama keluarganya sibuk menyiapkan hidangan istimewa. Bilik tetamu dikemas dan dibersihkan. Bahkan sempat juga dia memasang cadar dan menggantung langsir baru. Febreez disembur agar udara menjadi segar dan wangi. Bukan hanya Ramlee, isteri dan anak-anak juga gembira dengan kehadiran wanita itu.
Saat yang dinanti akhirnya tiba jua. Si ibu sampai di muka pintu seraya memberi salam. Kesemua ahli keluarga menyambut tetamu itu dengan mesra. Si ibu dilayan dengan penuh santun dan hormat. Sejuk hati ibu melihatkan adab mereka sekeluarga. Ibu dilayan dengan hidangan istimewa dan tempat tidur yang selesa. Selain itu mereka anak beranak bagaikan tidak mahu melepaskan peluang untuk menyantuni ibu dengan sepenuh jiwa.
Hari terus berlalu. Keluarga Ramlee tetap meladeni tetamu mereka dengan layanan yang tidak berbelah bagi. Si ibu tidak pernah berasa jemu sepanjang bertamu di rumah ini. Setelah hampir genap sebulan si ibu menyatakan bahawa dia perlu pulang ke rumahnya sendiri. Ramlee sekeluarga berasa sedih. Hiba kerana terpaksa berpisah. Masa dirasakan terlalu pantas berlalu dan serasa masih banyak bakti yang perlu dicurah buat si ibu.
“Nak, ibu sudah mahu pulang. Sudah hampir sebulan ibu bertamu di rumahmu. Engkau telah melayan aku dengan sebaiknya dan ibu tidak akan melupakan kebaikanmu ini. Kepada illahi aku berdoa agar engkau termasuk dalam golongan anak soleh beserta keluargamu semua,” sayu suara ibu.
Nah, inilah perumpamaan bulan Ramadhan. Ia bertandang setelah setahun meninggalkan kita. Bagaimanaka agaknya layanan kita terhadap Ramadhan? Adakah kita mahu meneladani seumpama Ramlee atau kita buat acuh tak acuh dengan tetamu kita ini? Adakah kita akan semakin sibuk di akhir garisan Ramadhan dengan persiapan hari raya dan mengkesampingkan segala tawarannya? Sesungguhnya Ramadhan datang dan pergi, tetapi pastikah ini bukan Ramadhan yang terakhir buat kita?
 

July 29, 2013


Hatiku Di Harajuku

 
Satu kelebihan di dalam penulisan karya fiksyen adalah kebebasan untuk berimaginasi. Di sini, segalanya hampir tiada garis sempadan selagi ianya masih di dalam lingkungan logika akal. Baik jalan cerita, watak, plot mahupun bahasa, segalanya terpulang sahaja di dalam kawalan si penulis. Dan sebagai pembaca, haruslah sesekali melepaskan cengkaman logik demi menikmati keseluruhan hidangan. Misalnya di dalam Hatiku Di Harajuku (HDH), lupakan seketika logika di mana tradisi Jepun yang sangat tegar dan ekslusif terhadap budaya samurai dan yakuza.  Kendati pun, Ryu-Watanabe adalah samurai paling digeruni di tanah Edo sedangkan dia adalah seorang berbangsa Melayu! Kenyataan yang sangat ekstrem dan hampir menongkah logika akal bukan?
HDH membawa pembaca mengenal kisah percintaan Ryu-Watanabe dan Noriko puteri Oyabun Nagamaru, ketua Yakuza Amikie. Ketika itu kumpulan samseng ini disaingi oleh satu lagi kumpulan iaitu Yakuza Jiro. Gandingan Ryu-Noriko yang mahir dengan seni mempertahankan diri kenjutsu merupakan tonggak utama Yakuza Amikie. Yamazaki telah menghadiahkan Tou Aii atau pedang cinta kepada keduanya. Namun cinta yang terjalin akhirnya kandas di tengah jalan.
Kuasa cinta sangat mempengaruhi kehidupan, hatta kelangsungan atau survival Amikie. Dan Jiro mengambil kesempatan ketiadaan Ryu Watanabe yang membawa diri dengan menghapuskan seluruh organisasi Amikie. Yang tinggal kini hanyalah Noriko yang terpaksa membalas dendam cara ninja.
HDH sarat dengan nuansa yakuza dan dendam. Dan pembaca terheret sama menghayati keunikan bumi Edo serta degup nafasnya. Yang lebih menarik adalah bagaimana RAM memadankan watak Ryu/Risham untuk menjadikannya sentiasa logik. Kan permainan logika akal ini hampir tiada bersempadan kerana bisa saja watak seperti Sabrina, Murni, Iskandar, Imam Daud, Kobun dan Saito bersaing sesama sendiri. Keseimbangan ini menjadikan kita terus santai mengikut rentak seorang samurai yang tanpa canggung  menarikan kenjutsu.
Dan sebuah cerita hebat memerlukan pengakhiran yang hebat. Bagaimana Ryu menemui jalan keluar atas segala dilema dan konflik, pembaca perlulah mencarinya sendiri di dalam HDH. Kerana sesungguhnya, ia bukanlah kisah cinta biasa.

July 4, 2013

mandatori


Mandatori



Saya memang meminati RAM. Dan kesempatan mengikuti karya awalannya memberikan suatu pengalaman berharga buat saya menelusuri perkembangan dan kematangan penulisan beliau. Ini kerana Mandatori adalah antara hasilan awal RAM yang langsung menjurus kepada genre thriller. Meski kelihatan sedikit longgar dari segi penguasaan ayat dan transisi, namun lihat sahaja bagaimana beliau mampu berdiri dengan karya seperti Fiksyen 302 dalam masa tidak sampai 10 tahun! Sesungguhnya “practice makes perfect”.
Mandatori mengisahkan kehidupan Amran yang bapanya telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati di bawah Akta Dadah Berbahaya (DDA), sedangkan dia sebenarnya dianiaya. Maka bermulalah mendung hitam yang seakan malas berarak melingkari kehidupan Amran. Dia dibuang sekolah dan mengikut Putih Tua menangkap ikan. Tetapi malang terus memburunya apabila sampan mereka karam dipukul ribut di tengah lautan. Amran terus hilang dan disangka mati.
Sekonyong muncullah watak Carlos yang menunjang dendam Amran terhadap penganiayaan bapanya. Seorang demi seorang individu yang terlibat dengan kes bapanya ditemui mati termasuklah pendakwaraya dan hakim. Kini dia bertindak sebagai judge kepada mahkamahnya sendiri dan tiada hukuman selain hukuman mati mandatori.
Pada masa yang sama Carlos juga mempunyai split personality iaitu Norman, seorang gentleman yang jatuh hati terhadap Juliana Dato Johari. Juliana, Kelvin dan Jane adalah rakan sekolah yang sentiasa membuli Amran semasa kecil. Dan Dato Johari terlibat secara langsung sebagai dalang memerangkap Tassan, bapa Amran. Dia bersekongkol bersama Chandran dan Mr. Lim.
Norman bukan sahaja berlagak sebagai Carlos, tetapi dia juga adalah Bogart, Pahlawan Mundu. Dari situlah dia mendapat kemewahan tanpa perlu bekerja. Dan Mandatori diakhiri dengan plot Amran yang telah amnesia dan hidup sebagai Bilal Piut. Secara keseluruhan, saya dapat merasakan bahawa RAM sememangnya telah sedia sebagai penulis thriller kerana imaginasi beliau yang tinggi, dan penulisan kreatif ini menjelmakan hasil yang seakan tanpa cacat. Saya tahu, hanya pengalaman dan latihan berterusan bisa menjadikan seorang insan berjaya seperi RAM. Salute!

 

May 21, 2013

MIKHAIL
 
Mengapa aku tidak pernah jemu dengan karya RAM? Kerana ianya tidak pernah gagal menggugah selera intuisiku. Lauk sesedap mana pun andai yang sama dihidang setiap hari pastilah akan menjadikan kita bosan dan putus selera. Berlainan dengan RAM yang bijak mengolah menunya sehinggakan apa sahaja yang dihidang menjadi sentiasa enak dan menyelerakan.
Begitulah jua apa yang aku rasa selepas puas ‘menghadap’ hidangan bernama Mikhail ini. Hidangan antarabangsa ini sangat terasa internationalnya kerana pertama wataknya membawa nama Rusia, Mikhail si pembunuh upahan professional. Mikhail mempunyai senarai mangsa yang perlu dibunuh dan dia berjaya melaksanakan tugasnya terhadap Yap dan Sundram di luar Negara. Kini hanya tinggal Dato’ Bakri dan Halim serta keluarganya. Kendatipun, demi melihat wajah Raihana, Mikhail 496 berubah fikiran.
Kali ini aku terpaksa membuat re-branding terhadap judul karya RAM. Biarlah aku namakan Mikhail 496 kerana terdapat beberapa orang Mikhail yang sering membunuh dan saling berbunuhan sesama sendiri. Elemen suspens dan thrill memang sangat kental di dalam karya kali ini apabila pembaca diheret secara halus untuk sama-sama menjejak sejarah latar belakang Mikhail 496.  RAM terus-terusan mencipta plot penyamaran, penipuan, brainwash, gila duit dan pengkhianatan. Jangan terkejut apabila RAM secara langsung menggunakan watak dan situasi beberapa anggota PDRM yang belot dan menjadi boneka Amerika. Tetapi tetap sahaja diimbangi dengan watak polis yang jujur dan cekap iaitu Zetty.
Kekuatan novel kali ini aku sandarkan kepada watak Mikhail 496 atau nama sebenarnya Mahmud Fadhil. Pada suku terakhir novel, barulah RAM bersedia membuka segala rahsia berkenaan Mikhail 496, Mikhail 155 dan Robert.  Dan menggunakan teori badan rahsia yang menguasai dunia seperti yang tertera di duit satu dolar menjadikan hidangan sangat inernasional.
Another good work and worth to read.

May 13, 2013


Sutera Bidadari

 



Apa yang paling menonjol dalam hasilan kelima daripada rangkaian enam buah ceritera epik RAM ini adalah kematangan. Aura ini memang jelas terutama dari segi perkembangan watak Saifuddin Jalis atau Laksamana Sunan. Dan Sutera Bidadari (SB) cuba mengintai dari sudut kerinduan Sunan kepada arwah isterinya, Ratna aka Ratu Sulaman. Dalam masa yang sama, watak misteri Sang Dewi dimunculkan, tetapi digantung sehingga hujung, menjuntai pertanyaan adakah dia sebenarnya Sang Ratu?

Tetapi bukan itu sahaja rasa yang ada dalam SB. RAM masih tegar memerikan pengalaman mistik dan magis sepanjang pengembaraan memburu Taghut aka Raja Roman yang telah dilepaskan oleh Sang Petala ke tempat kelahirannya, wilayah Dacia Romawi. Sunan pastinya ditemani pemain pembantu seperti Maryam, Luna, Sadik, Abdol Rohman (keponakan almarhum Djailuh), Laksamana Awang Bagan, Thariq, Indera dan Yedee yang setia.

Kendati pun, gaya atau style berperi dalam dua zaman iaitu tahun 2010 dan 1511 masih dikekalkan oleh RAM. Biarpun seakan pengulangan tetapi tak pernah membosankan kerana kedua-duanya sarat dengan unsur suspens dan cemas. Jesteru  persoalan siapakah Saifullah pewaris khazanah Maryam di Lisbon pula muncul. Mengapakah dia dikatakan mirip Saifuddin? Dan perjuangannya mempertahankan keris Nanggroe serta catatan Maryam yang akhirnya menjebak Abid Kamal dan Shahril ke sarang Drakul serta Vlad the impaler di Transylvania, Romania.

Pada penutupnya, RAM menyatakan bahawa SB menyingkap banyak persoalan yang ditinggalkan  oleh Cinta Sufi (CS), tetapi bagiku, banyak lagi persoalan yang ditinggalkan untuk dijawab dalam pengakhiran rangkaian kisah sunan, Cinta Musafir. Di situlah kebijaksanaan RAM.

P/s; Oh ya, aku teruja dengan pengembangan watak Hang Tuah dalam SB yang ditonjolkan sebagai pahlawan yang amat mulia merawat Sunan dan mengajarkannya jurus bayangan. Andai sahaja Melayu itu bersatu, dan saling membantu, pastilah ia menjadi bangsa yang maju.

 
Sunan Musafir
Buah tangan terakhir RAM dalam hikayat panjang perjalanan hidup Laksamana Sunan akhirnya berjaya jua aku habiskan. Kata RAM, dia terpaksa menoktahkan jua hikayat ini kerana jiwanya makin resah. Mulanya aku seakan tidak faham, mengapakah kisah yang sangat menarik harus dinoktahkan, namun akhirnya aku mengerti jua. Ibarat kata bijak pandai, berhenti sebelum kenyang itu lebih baik, walau selera sedang berkuasa.
Sunan Musafir (SM) dimulai dengan pace yang sangat perlahan. Saifudin menjalani hidup sebagai seorang imam musola yang jemaahnya tidak seberapa. Dia dikenali sebagai Kiyai Kelana. Andai tidak terbiasa dengan unsur suspens yan dikemudiankan dan sabar dalam tulisan RAM, mungkin saja aku terjerumus dalam situasi bosan kerana thrillnya hanya muncul selepas bab 10.
SM menutup hikayat Laksamana Sunan dengan menyingkap segala teka teki yang ditinggalkan oleh Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu, Hijab Sang Pencinta, Cinta Sufi dan Sutera Bidadari. Jesteru, permainan pembalikan masa memang sangat sering berlaku di dalam Sunan Musafir. Dan ya, RAM masih sempat memperkenalkan beberapa karekter baru seperti harimau jadian dari Jambi, Origa, Prayuga dan Qishahir si makhluk halus juga Yang Suri serta Penghulu Deris.
Pendekatan penceritaan bak penglipur lara amat menarik apabila Kiyai Kelana membuka setiap kisah bekenaan Laksamana Sunan kepada anakandanya, Andika. Diselitkan jua kisah cinta fitrah Saifudin, Ratna Sang Ratu Sulaman dan perungkaian sumpahan Maharani melalui Gimbaran. Tidak ketinggalan kisah Maryam-Saifullah, Luna-Yedee dan Dani-Saleha serta Haryani. Cuma watak Andika, satu-satunya anak Saifudin tidak dinoktahkan secara jelas. Mungkin penggantungan ini adalah yang terbaik sesuai dengan gelarnya, Sunan Musafir.
Kesimpulannya, hikayat Laksamana Sunan atau Saifudin Jalis atau Lelaki Berduka dari Tanah Rencong atau Lelaki Bertanduk Dua ini membawa mesej yang sangat jelas, iaitu Tauhid kepada Allah adalah sebaik-baik pegangan. Biar apa pun dugaan yang dihadapi, andai iman itu teguh, tiada apa yang dirasakan terlalu berat. Kedua, semakin kuat iman seorang hamba, semakin kuatlah dugaan yang dihadapi, biar dari sudut apa pun. Dan akhirnya, yang namanya manusia itu tidak dapat lari daripada cinta fitrah tetapi cinta hakiki kepada Allah itulah yang terbaik. Tidak menghairankan apabila RAM menyatakan bahawa hikayat ini adalah karyanya yang paling disayangi kerana ianya adalah unik dan paling berharga. Dan aku juga menyayangi hikayat ini selayaknya…

April 18, 2013


Cinta Sufi

Menelusuri sebuah hikayat pasti menuntut suatu intuisi dan ketekunanan yang tinggi. Dan selayaknya RAM adalah juara di dalam bidang ini. Bayangkan sahaja, trilogy epiknya bukan terhenti di Hijab Sang Pencinta bahkan bersambung kepada tiga buah novel lagi. Mahu kita namakan apa ya bagi kesinambungan seperti ini? Apa pun, watak Sunan masih menjadi tonggak ketiga-tiga hasilan RAM ini. Cuma saja, timangannya sudah berubah kepada ’lelaki bertanduk dua’.
Cinta Sufi (CS) menyambung peristiwa kembalinya Sunan daripada kurun ke 21 dengan kehilangan kudrat dan kegagahan. Pada masa itu juga Benggali Putih atau Feringgi telah berjaya meroboh Kota Melaka. RAM sempat menjentik rasa sedarku bahawa akibat penjajahan itu bukanlah hanya terkesan kepada istana, bahkan golongan marheinlah yang lebih menderita. Ada babak di mana panglima istana yang ditawan dan diberi layanan buruk sedangkan bukan semua soldadu Portugis itu sebenarnya pahlawan ampuh. Teringat kata-kata Tok Hamsan, “bila pokok pisang tumbang, kura-kura pun berani panjat”.
Oh ya, Sunan telah ditawan oleh Feringgi dan dijadikan hamba sahaya Catalina buat menemaninya ke Hulu Melaka. Di sana, Catalina mahu bertemu Maryam, seorang wanita berhijab yang ditemui dalam mimpi. Tetapi ancaman bahaya seakan terus memburu Sunan bukan sahaja daripada Aliosio dan Leandro, bahkan Taghut yang menyamar sebagai Pengeran Garitno dan Putri Kober Gandring si Pontianak.
RAM mengatakan bahawa babak Sunan kehilangan keperkasaannya adalah sisi kelemahan Sunan agar watak itu diseimbangkan sebagai manusia yang punya kelemahan. Dan kerinduan atas kehilangan wanita-wanita kesayangannya juga adalah soft spot Sunan. Entahlah, bagi aku Sunan tetap manusia hebat walau dilihat dari sudut manusiawinya. Kerana kehebatan sebenar Sunan adalah tawakalnya kepada Allah. Apa pun, pengajaran yang baik daripada CS adalah keikhlasan merupakan perisai terbaik seorang hamba.
Pemilihan latar kurun ke 15 memberikan kelebihan kepada RAM untuk menampilkan segala cerita sakti dan ajaib. Cuba sahaja latar masanya diubah ke kurun ini, pasti sahaja watak Pontianak, drakula, roh mati yang dipasung daulat sultan Melaka dan bangsa Polip manusia bersayap akan kelihatan amat tidak munasabah. Dan saya sangat suka bagaimana RAM menukilkan suasana Hulu Melaka dengan mitos dua ekor naga serta lagenda si Puteri Gunung Ledang. Aneh, tetapi tidak keterlaluan.
 Kisah ini digantung dengan pemergian Hang Tuah membawa Sunan yang tercedera ke dalam tasik Hulu Melaka. Ah, pancingan ini benar-benar menjeratku untuk membaca kisah selanjutnya dalam Sutera Bidadari.

April 9, 2013

Berkenaan Rezeki
 
 
“Papa, Iwan nak dua ratus ringgit,” rayu Iwan sambil menarik hujung baju ayahnya, Dato’ Jefry. “Iwan nak buat apa dengan dua ratus ringgit tu, nak?” redup pandangan si papa. Sememangnya Dato’ Jefry sangat concern soal duit. Buktinya, sehingga kini dia hanya memilih memandu Kenari walaupun duitnya menimbun dalam ASB. “Iwan nak beli ais krim,” masih merengek. “Aiskrim sampai dua ratus ringgit? Tak apa, nanti papa panggil penjual ais krim tu datang rumah, biar papa beli ais krim yang paling sedap untuk anak papa ni,” pujuk Dato’ Jefry.
Pada masa yang lain, Aslam, anak Dato’ Jefry yang sulung juga meminta jumlah wang sama. Oh ya, Aslam sedang belajar di sebuah IPTA. “Pa, saya nak RM200, nak beli buku rujukan,” pinta si anak. Sebagai anak orang kaya, Aslam tak layak mendapat baucer bantuan buku. Tanpa banyak bersoal jawab, Dato’ Jefry keluarkan dua keping not RM100 dan diberikan kepada Aslam.
Kisah pendek ini sebenarnya membawa suatu perlambangan besar kepada kita. Ada ketika kita berasa marah kepada pemberi rezeki kerana masih belum dapat apa yang kita inginkan. Sangka kita si pemberi rezeki tidak mengendahkan kita, sedangkan kita telah menjalankan segala suruhan. Maka kita pun membandingkan diri dengan orang lain. Kononnya, mereka yang culas solatnya, rompong puasanya, sedikit sedekahnya dan buruk kelakunya mudah sahaja mendapat rezeki. Sedangkan kita yang rajin ke masjid, baca yasin ketika hari Jumaat dan murah sedekah ketika diunjukkan tabung derma, amat seret rezekinya. Adakah si pemberi rezeki tidak adil? Maha suci Allah daripada sifat zalim.
Analoginya, Dato Jefry tidak memberi dua ratus ringit kepada Iwan kerana Iwan masih kecil. Dirasakan bahawa anak kecil pastilah kurang memaklumi akan nilai wang. Mungkin sahaja anak kecil ini akan ditipu atas keterbatasan akal dan kecetekan pengalamannya. Maka Dato Jefry lebih rela menunaikan permintaan Iwan sendiri. Bukanlah bermakna Dato’ Jefry kedekut atau tidak mampu memenuhi hajat Iwan, jauh pula membiarkan permintaan si kecil, bahkan atas dasar kasih, dia tidak mahu Iwan ditipu.
Tetapi lain pula situasi Aslam, pada pandangan Dato Jefry, anaknya ini sudah dewasa, matang dan berpendidikan, maka kepercayaan diberikan kepadanya. Kecerdikan Aslam diyakini dan kemungkinan untuk ditipu adalah rendah. Sewajarnyalah permintaannya dikabulkan tanpa banyak bicara.
Begitulah kita, tidaklah segala permintaan kita dikabulkan Allah dengan kadar segera. Ada kalanya cepat, bahkan baru terlintas di dalam hati, belum pun disebut dek lidah, sudah terkabul permintaan itu. Tetapi ada juga harapan kita yang Allah tangguhkan. Bukan bermakna Allah itu tidak mendengar permohonan kita, jauh sekali Allah tidak mampu memenuhi hajat kita. Tetapi mungkin sahaja kita masih mentah dalam menguruskan hajat. Mungkin Allah nak selamatkan kita daripada ditipu dunia. Boleh jadi andai kita dikurniakan kekayaan bak Robert Kwok, kita bakal jadi sombong, alpa dan angkuh. Anggaplah kita masih seperti Irwan yan percaya bahawa yang memegang rezeki itu pastilah lebih sempurna perancangannya. Mungkin suatu hari nanti, dengan bimbingan si pemberi rezeki, kita bakal mampu mencapai taraf Aslam. Sehingga itu, janganlah sedih dengan apa yang kita tak dapat, tetapi bergembiralah dengan apa yang kita dah dapat.