Showing posts with label renungan. Show all posts
Showing posts with label renungan. Show all posts

August 7, 2014

Sabar



Nabi Ayyub terkenal dengan kesabarannya yang tinggi di dalam menghadapi ujian dari Allah. Beliau adalah seorang lelaki yang almost perfect andai hidup pada hari ini. Baginda seorang lelaki yang tampan, sihat dan gagah. Bukan itu sahaja, baginda juga dikurniakan seorang isteri yang solehah lagi setia bernama Rahmah. Bersama Rahmah, baginda dikurniakan 12 orang putera dan puteri yang soleh dan solehah.

Selain berjaya dari sudut peribadi dan keluarga, Nabi Ayyub juga adalah seorang hartawan. Baginda dikurniakan harta yang banyak berupa ladang tanaman yang beribu hektar luasnya. Bukan setakat konglomerat sektor perladangan, baginda juga dikurniakan nikmat ternakan yang berjumlah ribuan ekor. Maka ramailah di kalangan umat Nabi Ayyub yang sama-sama merasai nikmat kekayaan baginda kerana baginda adalah seorang yang pemurah. Kekayaan dan kejayaan Nabi Ayyub ini meletakkan baginda sebagai seorang ikon di kalangan umat baginda. Ini juga menjadi salah satu daya penarik kepada dakwah baginda.

Meski baginda hampir perfect sebagai seorang insan, namun baginda tidak pernah menyombong diri, bahkan bagindalah manusia paling warak dan banyak bersyukur kepada Allah. Kisah kejayaan Nabi Ayyub ini sangat dicemburui iblis.

Maka suatu hari iblis datang menghadap Allah swt untuk menyatakan ketidak puasan hatinya terhadap Nabi Ayyub. “Ya Allah, seharusnyalah Ayyub itu banyak besyukur kepadaMu memandangkan dia dikurniai dengan banyak kelebihan. Cuba sahaja jika dia itu miskin, sebatang kara  ataupun sakit-sakit, pasti sahaja dia tidak akan pernah bersyukur kepadaMu,” kata iblis. “Maka aku memohon agar engkau cabut salah satu nikmatMu kepadanya berupa kekayaan. Aku yakin, Ayyub pasti akan berputus asa dan berhenti dari menjadi umatMu yang bersyukur,” sambung iblis. Maka Allah mengizinkan iblis menjalankan misinya.

Iblis terus pergi ke ladang Nabi Ayyub. Disebarkannya hembusan berupa racun ke atas tanaman dan ternakan Nabi Ayyub sehingga mati keseluruhannya. Pokok-pokok menjadi layu dan ternakan menjadi kurus. Tidak lama selepas itu, seluruh ladang tanaman dan ternakan Nabi Ayyub menjadi padang jarak padang tekukur. Nabi Ayyub telah jatuh papa dalam masa yang singkat. Tetapi apakah reaksi Nabi Ayyub? Adakah baginda menjadi putus asa?

Nabi Ayyub tidak langsung mengeluh melihatkan musibah yang menimpanya. Bahkan baginda terus terusan memuji dan bersyukur kepada Allah. Kerana baginya segala sesuatu itu adalah pemberian Allah dan seharusnyalah sebagai pemilik, Allah berhak mengambil barang milikanNya pada bila-bila masa sahaja. Iblis berasa sangat sakit hati terhadap apa yang berlaku, sangkanya setelah jatuh miskin, pastilah Nabi Ayyub akan menjadi sangat devastated dan berputus asa.

Lalu iblis pergi menemui Allah semula. Dia memohon agar Allah mencabut nyawa kesemua anak-anak Nabi Ayyub. Pada pendapat iblis anak-anak adalah jantung hati seorang bapa dan kematian anak-anak ini pastilah akan sangat menghancurkan iman dan taqwa Nabi Ayyub. Allah perkenankan permohonan iblis dan terus menyatakan bahawa hambaNya Ayyub pasti akan terus menjadi hamba yang bersyukur.

Sekonyong kesemua anak Nabi Ayyub telah mati serentak. Bayangkan sahaja menghadapi kematian dua belas orang anak yang soleh dan solehah serentak tanpa ada tanda-tanda sakit, pastilah sahaja menggegar keimanan seorang insan. Tetapi tidak bagi Nabi Ayyub. Baginda tetap tabah dan tunduk bersyukur kepada Allah. Iblis sangat hairan dan datang menemui Nabi Ayyub. “Wahai Ayyub, dahulu engkau ini kaya. Hartamu menimbun dan anakmu ramai. Tetapi kini satu persatu nikmat itu telah dicabut Allah. Tidakkah kau berasa bahawa tuhanmu sedang murka ke atasmu lantas menjatuhkan kaffarah kepadamu? Maka mengapa kamu masih mahu sujud bersyukur kepada tuhanmu?”. “Aku beriman kepada Allah kerana aku adalah hambaNya, bukan kerana yang lain,” jawab Nabi Ayyub.

Iblis berasa sangat marah. Kali ini dia menemui Allah untuk memohon agar ditimpakan sakit ke atas Nabi Ayyub. Kerana selain kemiskinan, manusia pasti akan goyah imannya apabila diuji dengan sakit. Allah mengizinkan permohonan iblis dan tetap menyatakan bahawa Nabi Ayyub akan kekal menjadi hamba yang bersyukur.

Selang beberapa ketika, Nabi Ayyub diserang sejenis penyakit ganjil. Badannya menjadi kurus dan kulitnya ditumbuhi kudis. Perubahan mendadak fizikal Nabi Ayyub menjadi bualan penduduk kota. Mereka berasa pelik dengan penyakit yang menimpa Nabi Ayyub bimbang ianya akan menulari seluruh penduduk. Maka mereka berpakat mengusir Nabi Ayyub dari kota. Mengusir manusia yang dahulunya tidak putus membantu mereka ketika susah dan menunjukkan mereka akhlak terpuji.

Maka pada suatu hari, Nabi Ayyub telah keluar dari rumahnya bersama Rahmah, isteri yang setia. Mereka melarikan diri ke dalam hutan yang jauh dari penempatan manusia. Nabi Ayyub sangat bersyukur kerana masih ditemani isterinya walau keadaan fizikalnya yang lemah dan berpenyakit. Baginda tidak pernah putus bersyukur kepada Allah apatah lagi mengeluh dan berputus asa.

Kekuatan iman Nabi Ayyub sangat menyakitkan hati iblis. Lantas iblis mengatur rencana menghasut Rahmah, isteri Nabi Ayyub. Iblis menjelmakan dirinya dalam sosok seorang lelaki tua. “Puan, aku sangat kasihan melihatkan nasibmu. Dahulu engkau punya segalanya, harta yang banyak, suami yang berpengaruh dan dihormati serta anak-anak yang ramai. Tetapi hari ini, lihatlah sahaja keadaanmu. Terpunduk di tengah hutan, diusir oleh kaummu sendiri, pada kedana dan sebatang kara. Engkau mintalah suamimu berdoa kepada Allah agar dikembalikan segala nikmat yang pernah diturunkan kepadanya. Semoga sahaja engkau kembali seperti dahulu,” pujuk iblis. Iblis berhelah agar Nabi Ayyub sekurang-kurangnya menyalahkan takdir dan berhenti bersyukur.

Rahmah terpedaya dengan helah iblis. Dia menemui baginda dan merayu agar suaminya itu berdoa dilepaskan dari segala ujian yang getir ini. Nabi Ayyub berasa sedih dan marah. Kepada Rahmah baginda berkata, “Wahai isteriku, selama ini engkau rapat dan setia kepadaku. Aku menyangka engkau mengerti dakwah dan peganganku bahawa segala sesuatu yang berlaku itu adalah takdir tulisan Allah. Kerana sesungguhnya takdir Allah adalah yang terbaik buatku. Tetapi hari ini engkau menyuruhku memohon Allah mengubah tulisan takdir itu? Hanya kerana engkau tidak tahan dipandang hina manusia lain?”. Rahmah tertunduk. “Mulai hari ini pergilah engkau dari sisiku dan aku bernazar andai suatu hari nanti engkau kembali kepadaku, maka aku akan menghukummu dengan seratus sebatan,” sambung Nabi Ayyub.

Maka tinggallah baginda keseorangan setelah ditinggalkan Rahmah. Baginda terus-terusan beribadat kepada Allah dan sentiasa bersyukur. Iblis berasa sangat hairan terhadap tahap kesabaran Nabi Ayyub. Tidak pernah dia bertemu dengan insan setabah Ayyub. Akhirnya iblis pergi menghadap Allah. “Ya Allah, sesunguhnya aku berasa hairan terhadap hambaMu, Ayyub. Tidak pernah aku bertemu manusia sesabarnya. Dia diduga dengan kekayaan, pengaruh dan keluarga tetapi masih teguh bersyukur kepadaMu. Pada hari ini aku gagal menggoda dan menyesatkan hambaMu yang satu ini,” iblis menyerah kalah. “Bukankah telah aku katakan bahawa engkau akan mendapati Ayyub itu hamba yang banyak bersyukur,” firman Allah.

Setelah iblis pergi, Allah telah memerintahkan malaikat Jibril untuk menemui Nabi Ayyub. Melalui Jibril, Nabi Ayyub disuruh menghentakkan kakinya ke bumi dan terpancarlah mata air. Dari mata air tersebut Nabi Ayyub disuruh minum dan mandi. Segala suruhan itu dilakukan oleh Nabi Ayyub. Dan kini baginda beransur sihat seperti sediakala, bahkan baginda menjadi lebih tampan dari yang dahulunya.

Nabi Ayyub telah berjaya menghadapi ujian ke atasnya dengan cemerlang. Kita baginda pulang ke kota mencari isterinya, Rahmah. Rahmah seakan tidak mengenali lagi suaminya dek kerana perubahan yang berlaku ke atas Nabi Ayyub. Dia kembali hidup bersama Nabi Ayyub.

Pada kali ini Allah mengurniakan harta yang lebih banyak daripada dahulu. Juga Allah mengurniakan anak yang lebih ramai. Di kalangan anak-anak Nabi Ayyub, Allah angkat seorang daripadanya sebagai Rasul iaitu Nabi Zulkifli.

Lihatlah balasan di atas kesabaran seorang hamba. Allah tidak menguji kita kerana Dia membenci kita. Tetapi Allah menguji kerana Dia mahu memberi kita sesuatu yang lebih baik, kerana kesudahan yang baik adalah bagi mereka yang bersyukur. Juga harus diingat, ketika kita diuji dengan kehilangan, kematian dan kekurangan, dipandang hina dan dipulaukan, bertawakallah kepada Allah. Sentiasa beringat ke atas nikmat-nikmat lain yang masih banyak. Semoga hati kita terdidik untuk terus bersyukur.

Para sahabat rasulullah akan berasa sedih dan gundah andai terus terusan sihat dan cukup keperluannya. Pada mereka Allah tidak menguji kerana Allah sudah melupakan mereka. Mereka akan berasa bersyukur andai diuji dengan kesakitan, kesempitan mahupun kelaparan. Kerana tanda Allah peduli dengan hamba ialah ketika kita diuji. Oleh itu, bersyukurlah atas ujian. Teruskan bertawakkal kerana kita secara fitrahnya lebih mudah bersyukur ketika kita diuji.

April 9, 2013

Berkenaan Rezeki
 
 
“Papa, Iwan nak dua ratus ringgit,” rayu Iwan sambil menarik hujung baju ayahnya, Dato’ Jefry. “Iwan nak buat apa dengan dua ratus ringgit tu, nak?” redup pandangan si papa. Sememangnya Dato’ Jefry sangat concern soal duit. Buktinya, sehingga kini dia hanya memilih memandu Kenari walaupun duitnya menimbun dalam ASB. “Iwan nak beli ais krim,” masih merengek. “Aiskrim sampai dua ratus ringgit? Tak apa, nanti papa panggil penjual ais krim tu datang rumah, biar papa beli ais krim yang paling sedap untuk anak papa ni,” pujuk Dato’ Jefry.
Pada masa yang lain, Aslam, anak Dato’ Jefry yang sulung juga meminta jumlah wang sama. Oh ya, Aslam sedang belajar di sebuah IPTA. “Pa, saya nak RM200, nak beli buku rujukan,” pinta si anak. Sebagai anak orang kaya, Aslam tak layak mendapat baucer bantuan buku. Tanpa banyak bersoal jawab, Dato’ Jefry keluarkan dua keping not RM100 dan diberikan kepada Aslam.
Kisah pendek ini sebenarnya membawa suatu perlambangan besar kepada kita. Ada ketika kita berasa marah kepada pemberi rezeki kerana masih belum dapat apa yang kita inginkan. Sangka kita si pemberi rezeki tidak mengendahkan kita, sedangkan kita telah menjalankan segala suruhan. Maka kita pun membandingkan diri dengan orang lain. Kononnya, mereka yang culas solatnya, rompong puasanya, sedikit sedekahnya dan buruk kelakunya mudah sahaja mendapat rezeki. Sedangkan kita yang rajin ke masjid, baca yasin ketika hari Jumaat dan murah sedekah ketika diunjukkan tabung derma, amat seret rezekinya. Adakah si pemberi rezeki tidak adil? Maha suci Allah daripada sifat zalim.
Analoginya, Dato Jefry tidak memberi dua ratus ringit kepada Iwan kerana Iwan masih kecil. Dirasakan bahawa anak kecil pastilah kurang memaklumi akan nilai wang. Mungkin sahaja anak kecil ini akan ditipu atas keterbatasan akal dan kecetekan pengalamannya. Maka Dato Jefry lebih rela menunaikan permintaan Iwan sendiri. Bukanlah bermakna Dato’ Jefry kedekut atau tidak mampu memenuhi hajat Iwan, jauh pula membiarkan permintaan si kecil, bahkan atas dasar kasih, dia tidak mahu Iwan ditipu.
Tetapi lain pula situasi Aslam, pada pandangan Dato Jefry, anaknya ini sudah dewasa, matang dan berpendidikan, maka kepercayaan diberikan kepadanya. Kecerdikan Aslam diyakini dan kemungkinan untuk ditipu adalah rendah. Sewajarnyalah permintaannya dikabulkan tanpa banyak bicara.
Begitulah kita, tidaklah segala permintaan kita dikabulkan Allah dengan kadar segera. Ada kalanya cepat, bahkan baru terlintas di dalam hati, belum pun disebut dek lidah, sudah terkabul permintaan itu. Tetapi ada juga harapan kita yang Allah tangguhkan. Bukan bermakna Allah itu tidak mendengar permohonan kita, jauh sekali Allah tidak mampu memenuhi hajat kita. Tetapi mungkin sahaja kita masih mentah dalam menguruskan hajat. Mungkin Allah nak selamatkan kita daripada ditipu dunia. Boleh jadi andai kita dikurniakan kekayaan bak Robert Kwok, kita bakal jadi sombong, alpa dan angkuh. Anggaplah kita masih seperti Irwan yan percaya bahawa yang memegang rezeki itu pastilah lebih sempurna perancangannya. Mungkin suatu hari nanti, dengan bimbingan si pemberi rezeki, kita bakal mampu mencapai taraf Aslam. Sehingga itu, janganlah sedih dengan apa yang kita tak dapat, tetapi bergembiralah dengan apa yang kita dah dapat.

March 12, 2013

Pelajaran dari sebatang pensil
 
 
Nenek Non sedang asyik menulis sesuatu di meja study cucunya, Yam. Keasyikan itu menarik perhatian sang cucu lantas menyapa, “Ha…nenek mesti tengah tulis pasal Yam kan?”. “Betullah tu…tapi nenek nak cerita yang lebih penting…pasal pensil ni,” balas si nenek seraya mengangkat pensil di tangannya. “Ada apa dengan pensil, nek?” tanya sang cucu.
“Cu, pada pensil ini terdapat pengajaran yang besar. Nenek dapat simpulkannya menjadi lima perkara yang bakal menjadikan hidupmu tenang sentiasa,” si nenek mula bercerita.
Pertama, pensil itu hanya dapat berfungsi dengan baik apabila ianya dipimpin oleh tangan yang mahir. Dengan kemahiran tangan inilah pensil dapat mencoretkan beribu bahkan berjuta huruf yang bercantum menjadi patah kata dan ayat. Ayat itu kemudiannya bergabung menjadi perenggan dan akhirnya berdiri menjadi ilmu. Demikianlah juga hidup kita, sebagai pensil hendaklah kita menurut patuh dengan ‘tangan’ yang mahir mencorakkan huruf, patah kata dan ayat. Dialah Allah yang maha kuasa.
Kedua, pensil dalam jangka masa tertentu barang pasti perlu diraut. Proses meraut ini kelihatannya menyakit dan menyiksaan. Namun proses ini adalah kemestian demi menajamkan mata pensil buat membolehkannya berfungsi semula. Demikianlah hidup kita, ada kalanya kesedihan, kesakitan dan penderitaan datang melanda. Bukanlah Allah itu mahu membeban dan menyiksa kita, bahkan mahu menjadikan kita terus berfungsi dengan baik. Kan tanpa cubaan kita sukar menjadi dewasa?
Pengajaran ketiga ialah tulisan yang terhasil pastilah kedapatan kesalahan. Dan dalam soal ini, tulisan pensil boleh dipadam oleh getah pemadam dan seumpamanya. Begitulah jua kehidupan manusia, pastilah akan berlaku kesalahan dan dosa. Setiap kekhilafan ini pasti sahaja boleh dihapus dengan kemaafan dan taubat. Sebagai pensil, jangan perasan sempurna, tetap sahaja berlaku keterlanjuran dan dosa, hanya perlu guna pemadam buat membetulkan kesalahan.
Seterusnya, kita lihat apa yang tinggal setelah tulisan pensil dipadam? Pastilah ada kedapatan kesan di atas kertas, bukan? Nah, itulah perlambangan bagi setiap kesalahan pastilah meninggalkan kesan, walau telah terampunkan. Maka berhati-hatilah selalu dalam penulisan kehidupan kerana pasti sahaja kesalahan kita, terutama kepada mereka yang akrab dengan kita, terkesan atas kekhilafan tersebut.
Dan akhirnya, jika diteliti pada fizik pensil itu sendiri, apa yang lebih penting pada pensil? Luarannyakah atau arangnya? Pastilah arangnya. Makanya, arang itu terletak di sebelah dalam dan dilindungi kayu yang keras. Inilah perlambangan paling hebat oleh sebatang pensil. Jiwa yang letak duduknya di dalam manusia, itulah yang lebih penting berbanding jasad luaran kita. Boleh sahaja pensil itu berharga puluhan malah ratusan ringgit tetapi arangnyalah yang paling berharga. Andai pensil berharga ratusan ringit namun tidak punya arang di dalamnya, masih berhargakah ia? Begitulah jua ibaratnya manusia, kalaulah sahaja jiwanya kosong, kumul dan bobrok, apakah nilaiannya berbanding penampilan luaran yang serba keren, gensi dan juga moden?
“Maka dengan itu wahai cucu, sentiasalah kita mencari pengajaran dari apa yang ada di sekeliling kita, hatta sebatang pensil. Kerana kitalah pensil itu, diciptakan dengan sebaiknya dan dituntun oleh sang Pencipta, diuji untuk mematangkan dan sentiasalah kita berbuat kesalahan, namun di sana, tetap sahaja ada kemaafan. Namun akhirnya, jiwa kitalah yang menjadi nilaian-Nya. Ingatlah, Allah menyuruh kita sentiasa peka dengan alam dan kehidupan. Di sana pasti kita sedar kemudiannya bahawa tiada suatu pun yang diciptakan sia-sia,” demikian pesan nenek.
 

August 25, 2011

Kita Belajar Apa Daripada Ramadhan


Kalau dulu2 time dah nak graduate aku pernah terfikir apa yang aku dah belajar sepanjang empat tahun ni. Iyelah, kalau dibandingkan ngan buku teks yang menimbun tu, agak2 sama banyak tak ilmu yang menghuni dada ini. Ah, masakan...masa tu apa yg lebih penting pastinya persiapan nak konvo. Kalau takat aku ni biasa2 ajelah, takdelah nak tempah baju sakan. Lainlah sister2 tuh, sanggup tempah baju glam2 walaupun nantinya pasti ditutup ngan robe yg geloboh tu. Tapi dah lumrah wanita kan...

Macam tu jugaklah kita hari ini. Hari graduasi Ramadhan dah hampir tiba. Tinggal empat lima hari jer lagi. Agak2 adakah kita terfikir apa yg Ramadhan dah ajar kita dan apa yang kita belajar sepanjang madrasah ramadhan ni. Ada orang dapat belajar erti kesabaran, ada orang belajar memaafkan dan ada jugak orang yang tak belajar apa-apa. Sesungguhnya rugilah orang yang merasakan Ramadhan macam hari-hari lain, takde yang special pun. Sebab tu bila Ramadhan hadir, dia takde rasa excited pun. Bahkan lebih teruk kepada yang merasakan bahawa Ramadhan menyusahkan sebab kene puasa, tarawih dan zakat. Serta ternanti2 bila Ramadhan akan berakhir.

Ada orang pulak time2 dekat ngan graduation day ni sibuk ngan preparation yang salah. Sibuk ngan baju apa nak pakai, perhiasan apa nak beli, salon mana nak wat facial, nak wat manicure, pedicure. Ada jugak yang sibuk nak wat juadah apa yg special, berapa banyak duit raya nak beri dan macam2 lagi.

Sedangkan orang yang benar2 graduated with First Class Degree (hons.) ialah mereka yang benar2 cemerlang dalam amal ibadah yang benar2 polished taqwanya. Apa makna taqwa? Sedar dan in control. Orang Sedar dan In Control takkan nak berbelanja berlebihan sampai membazir kan? Takkan nak berhabis beli langsir, karpet atau perabot sedangkan yang sedia ada masih elok kan? Takkan nak tukar cat kereta mahupun rim sukan yang masih ok kan? Ataupun yang lebih sanggup tinggal tarawih semata2 bersesak kat sogo dan jalan TAR cari baju raya dan tudung siti nurhaliza kan? Agak2 kita dapat degree kelas apa ye?

June 1, 2011


Your present is lot more important than your presence...

Baru baru ni adalah menonton filem "Saya Tak Bodoh". Adaptasi dari filem negara jiran, I'm Not Stupid ini ternyata tidak mengecewakan dengan local elements had been blend nicely. Well, ditambah dengan sesi ceramah motivasi pagi hari ini, rasanya sesuai kut kalau kita fikirkan sejenak rutin harian ini saban hari. Bukan apa, kadang-kadang perkara rutin sering menyebabkan kita teralpa dan terlupa matlamat yang lebih besar dalam hidup.

Bila ditanya apakah matlamat kita bekerja, jawapan paling standard ialah untuk mencari rezeki buat memperbaiki kehidupan kita. Kita mahu menyediakan isteri dan anak-anak kemudahan yang paling selesa, termasuklah kenderaan yang tak malu kita pakai semasa hantar anak ke sekolah, atau rumah yang tak malu bila kita jemput mak ayah datang bertandang. Itu paradoks. Makanya kita bekerja kuat, keras dan gigih untuk memenuhi semua keperluan tersebut. Ada yang suami keluar kerja pagi balik malam, sedang isteri keluar kerja malam balik keesokan paginya pulak. Time jumpa pun touch and go jer. Anak-anak ditinggal di rumah. Jumpa pun sekali sekala.

Akibatnya, timbul pelbagai krisis dan masalah. Dan banyak pula wang perlu digunakan untuk merawat masalah itu. Iyelah, masalah anak nakal, masalah suami curang, masalah kesihatan dan macam-macam lagi. Wang yang kononnya dicari dan dikumpul hasil kerja keras tadi rupanya bukan boleh dinikmati untuk memenuhi cita-cita tapi terpaksa digunakan untuk menyelesaikan masalah baru pula.

Apa kata kalau kita kerja kuat, tapi tunai tanggungjawab kepada keluarga pun buat. Meminjam kata-kata En Fakrul, "Apa pun kena buat bersungguh, bang. Time keje kene bersungguh, time bersukan pun kene bersungguh. Time karok pun bersungguh, time main ngan bini pun kene bersungguh. Hehe..." Betullah tu, sebab di akhir ceritanya nanti anak-anak akan berkata," Your present is lot more important than your presence, atau Kehadiran kita lebih baik daripada hadiah yg kita bawa." Ke guane?