April 29, 2009


Unta oh Unta...

Diriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa suatu hari rasulullah telah didatangi oleh seekor unta yang agak lemah. Unta tersebut terus menemui baginda sambil berbisik-bisik di telinga rasul. Usai sang unta berbisik, baginda lantas menemui tuan empunya unta seraya berkata, “Janganlah engkau memaksa-maksa unta ini untuk membawa bebanan yang melebihi kemampuannya. Berilah unta ini makan secukupnya dan janganlah engkau sekali-kali menyiksanya.” Maka sang unta pun dilayan baik oleh tuannya sesuai dengan arahan rasulullah.

Setelah beberapa lama sang unta bertemu lagi dengan rasulullah. Kali ini sang unta kelihatan sihat dan ceria. Sang unta berbisik sesuatu kepada rasulullah dan kelihatan baginda juga membisikkan sesuatu kepada sang unta. Sang unta kelihatan terkejut dan bermuram durja. Sejak hari itu, sang unta bekerja keras sehingga selalu terlupa untuk makan. Badannya yang dahulu gemuk menjadi kurus dan akhirnya mati. Maka tuan punya unta datang menemui rasulullah mengadukan perihal sang unta. “Ketahuilah kamu, pada mulanya sang unta menemuiku dan mengadu bahawa ia tidak mampu untuk menanggung beban berat yang diarahkan oleh tuannya. Maka aku telah menemui tuannya dan meminta agar kebajikan unta ini dijaga dan haknya dipelihara. Pada kali kedua, ia membisikkan kepadaku bahawa unta bahagia dengan layanan tuannya selepas itu. Tetapi aku telah memberitahunya bahawa ia akan mati tidak lama lagi. Unta menjadi sangat takut dan mahu menghabiskan sisa hidupnya dengan berbakti kepada tuannya sepenuh hati sehingga melupakan soal makan dan minum,” jawab baginda.

Lihatlah betapa sang unta pun tahu takutnya ajal maut itu. Sedangkan kita, manusia yang berakal ini, yang telah menghantar jenazah ke kubur, yang melihat jenazah dikuburkan, dan mendengar talkin, tidak insaf-insaf akan soal kedatangan maut. Berani betul kite ni ek???

April 24, 2009


Kenali Personaliti Anda

Bayangkan di hadapan anda ada sekeping kertas putih bersih. Sekarang lukiskan sebuah bulatan di atas kertas tersebut. Selepas itu buatkan satu titik di atas kertas tersebut. Personaliti anda dapat dinilai dengan tempat anda melukis titik tadi.

Sekiranya titik tersebut berada betul-betul di tengah bulatan: anda adalah orang yang mengikut arahan dan mendengar kata. Anda juga adalah seorang yang berdisplin dan mudah diatur. Teratur dan berhati-hati dalam membuat keputusan.

Sekiranya titik tersebut di dalam garisan bulatan tetapi tidak di tengah-tengah: anda seorang yang mengikut peraturan pada kebanyakan masa tetapi cenderung untuk melanggar peraturan. Anda suka kepada cabaran dan risiko dan kadang-kadang sedikit nakal.

Titik di luar garisan bulat tetapi masih di atas muka kertas: anda seorang yang sangat sukakan cabaran dan melawan peraturan. Anda sukakan pekerjaan yang penuh risiko seperti polis dan bomba, (ye ke?)

Titik di belakang kertas: anda mempunyai kreativi yang tinggi dan mendahului zaman. Disebabkan kreativiti melampau anda, anda sering disalah tafsir oleh orang sekeliling.


p/s: udah, habis kertas diconteng bebudak kat opis aku...

April 15, 2009


Prinsip 10/90

Mari kita analisa dua senario di baawah dan sama-sama memikirkannya.

Senario A

Pada suatu pagi ketika di meja makan, si anak yang ingin bersalam sebelum ke sekolah telah terlanggar meja makan dan menumpahkan air kopi ke atas baju putih si ayah. Si ayah terus meradang dan memarahi si anak. Maka menangislah si anak dek herdikan ayahnya itu. Tidak setakat itu sahaja, sang ayah terus mengarahkan perasaan bengangnya kepada si ibu, ”Kamu pun satu, kenapa letakkan teko kopi tu di tepi meja? Kalau kamu letak di tengah pasti airnya tidak tertumpah di atas bajuku.” Sambil mengibas-ngibas air kopi yang mula meresapi baju putihnya, sang ayah laju menaiki tangga menuju ke biliknya. “Mana pulak kamu letak bajuku yang lain? Aku dah lewat ni,” jerit sang ayah dari dalam bilik. “Di mana lagi kalau bukan di tempat biasa,” si ibu menyahut dari dapur sambil tangannya sibuk membersihkan meja makan dan memujuk anaknya yang menangis tersedu sedan. “Mana ada. Cepatlah carikan bajuku. Aku dah lewat ni,” suara sang ayah semakin keras.

Si ibu bergegas ke bilik dan mencapai baju kerja si ayah yang baru, “Nah, inikan baju Abang di tempat biasa. Itulah, orang cari dengan mata tapi abang cari dengan hidung. Mana nak jumpa,” Muncung. Sambil mendengus si ayah menukar bajunya dan terus turun ke bawah. Dilihatnya si anak masih di meja makan, menangis. “Apa lagi ni, cepatlah tunggu di luar, nanti ditinggalkan bas sekolah,” arah si ayah tegas. “Memang dah ditinggal pun,” sahut si ibu pula. Dengan hati yang panas si ayah terpaksa menghantar anaknya ke sekolah. Jam sudah menunjukkan hampir 8.00 pagi. Memikirkan dirinya semakin lewat, sang ayah terus memecut ke sekolah anaknya di arah bertentangan dari tempat kerjanya. Tanpa sedar dia telah melanggar tiga lampu isyarat merah dan ditahan polis. Sudahnya dia disaman. Sampai di pintu pagar sekolah, loceng telah lama berbunyi dan semua murid sudah memulakan kelas. Dengan keras si anak menghempas pintu kereta dan berkata, “Saya benci ayah.” Tersentak si ayah dengan apa yang baru didengarinya.

Fikirannya masih ligat memikirkan segala peristiwa yang baru sahaja dilaluinya pagi ini. Terlalu pantas dan terlalu banyak. Sehingglah dia tiba di pejabat dan didapatinya dia telah terlewat 30 minit. Encik M, ketua jabatannya yang baru secara kebetulan lalu di hadapannya. “Hai, awal kamu sampai pagi ni,” Sinis. “Hei, kamu tunjuk lagak ya. Mentang-mentanglah baru naik pangkat. Sudah lupakah kamu kita dahulu sama jawatan?” Suara si ayah terus meninggi.

Sekarang, cuba analisa kes ini pula.

Senario B

Pagi yang sama di rumah yang berbeza. Seorang bapa sedang duduk menikmati sarapan paginya. Si anak datang untuk bersalam sebelum pergi ke sekolah. Secara tidak sengaja si anak terlanggar meja tersebut dan kopi tertumpah di atas baju ayahnya. Si anak terus meminta maaf atas kesalahannya. Dengan senyum, si ayah memujuk, “Tak apa, nanti ayah minta ibu cuci baju ini. Adik jangan menangis ya. Ayah nak tukar baju yang lain.” Si anak yang ketakutan tidak jadi menangis.

Setelah menyarungkan baju yang lain, si ibu memuji sang ayah,”Nah, Abang nampak lebih segak dengan baju ini. Ayang bangga jadi isteri Abang.” Dengan hati yang girang si ayah terus menuju ke kereta. Sang Ayah tiba sedikit lewat ke pejabat pada pagi itu. Ketua jabatannya menegur,”Hai, awalnya kamu hari ini.” Sinis. “Encik tak tahu apa yang berlaku pagi tadi...,” sahut si ayah sambil bercerita tentang peristiwa kopi yang tertumpah di atas bajunya. “Wah, bahagianya keluarga kamu. Ceritalah lagi. Pagi ini saya belanja kamu sarapan bagi menggantikan kopi yang tertumpah,” pelawa ketua jabatan penuh ceria.

Sebenarnya 10 peratus daripada apa yang berlaku dalam hidup kita adalah takdir tuhan yang kita tiada kuasa untuk mengubahnya. Manakala 90 peratus lagi adalah elemen-elemen yang boleh kita kawal hasil daripada reaksi terhadap sepuluh peratus peristiwa tadi. Setiap hari kita akan menghadapi ujian, cabaran dan peristiwa. Segalanya terpulang kepada bagaimana kita menganalisa, menimbang dan membuat keputusan terhadap apa yang berlaku. Kalau positif pandangan kita maka akan positiflah keputusannya. Manakala 10 peratus elemen yang tidak dapat dikawal seperti cuaca, kesihatan, kematian, musibah kenakah kita hadapi dengan penuh positif dan sabar.

April 10, 2009


Kita selalu tersalah sangka


Bermula kisah perkenalan dua orang budak yang masih bersekolah rendah. Rosnah dan Ahmad. Mereka sangat akrab sehinggalah memasuki sekolah menengah yang sama. Pada peperiksaan SPM, Rosnah telah mendapat keputusan yang cemerlang dan diterima melanjutkan pengajian ke universiti. Manakala keputusan Ahmad sekadar cukup makan dan terpaksa bekerja sendiri. Ahmad memelihara lembu secara kecil-kecilan.

Masa terus berlalu dan Rosnah mulai kurang menghubungi Ahmad. Baik melalui telefon mahupun surat. Ahmad cuba memahami keadaan Rosnah yang sibuk dengan pengajiannya di universiti. Suatu hari Rosnah menghubungi Ahmad. Mendengar suara insan yang dicintainya, Ahmad sungguh gembira. Dia juga berhasrat melamar Rosnah yang akan menamatkan pengajian tak lama lagi. “Abang, Ros nak bagitau abang satu berita. Berita penting,” kata Rosnah. “Abang pun ada perkara nak bagitau Ros. Ros cakaplah dulu,” girang suara Ahamad. “Ros nak bagitau Abang, Ros akan berkahwin dengan Azlan. Dia senior Ros di universiti. Dia sekarang telah menamatkan pengajian dan berjawatan besar. Ros harap abang boleh terima berita ini dan jangan hubungi Ros lagi,” ringkas berita Ros.

Ahmad begitu terkejut mendengar berita yang tidak disangka-sangkanya. “Agaknya Ros berubah hati kerana Abang tidak pandai dan kaya seperti bakal suami Ros. Tapi abang berjanji akan menjaga Ros, kerana abang mencintai Ros,” balas Ahmad penuh pengharapan. “Abang fikirlah apa abang nak fikir. Ros dah membuat keputusan. Jangan hubungi Ros lagi. Abang Azlan tak suka,” Ros mematikan perbualan.

Ahmad sangat terkilan dengan sikap Ros. Insan yang paling dicintainya telah meruntuhkan harapannya, satu-satunya harapannya. Lebih-lebih lagi di saat dia ingin melamar kekasih hatinya itu. “Mulai hari ini, aku akan buktikan kepada Ros dan dunia, aku, Ahmad boleh berjaya walaupun aku tidak belajar di universiti. Aku akan buktikan aku akan lebih berjaya daripada Azlan,” tekad Ahmad bulat.

Mulai hari tersebut Ahmad bersungguh-sungguh mengusahakan penternakan lembunya. Tidak berapa lama kemudian dia sudah pun membuka beberapa ladang ternakan di beberapa buah negeri. Akhirnya, berkat usaha gigih Ahmad, dia kini menjadi kaya.


Suatu hari Ahmad pulang ke kampung halamannya dengan menaiki kenderaan mewah. Ingin ditunjukkan kepada semua orang bahawa ini adalah Ahmad, budak yang hanya belajar setakat tingkatan 5. sekarang Ahmad bukan macam Ahmad dulu. Ahmad dah berjaya, kaya dan berduit. Ketika melalui sebatang jalan, Ahmad terpandang sepasang suami isteri sedang barjalan kaki. Kasihan terhadap kepayahan pasangan tua itu berjalan, Ahmad berhenti untuk menumpangkan mereka. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati kedua orang tersebut adalah ibu dan bapa Rosnah. “Pakcik, makcik, marilah naik. Saya hantarkan ke mana pakcik dan makcik nak pergi,” pelawa Ahmad. Keduanya menaiki kereta mewah Ahmad. “Alhamdulillah, kau sudah berjaya Ahmad. Tahniah,” kata-kata pujian terpacul daripada mulut si suami. “Iya pakcik. Saya dah berjaya. Saya berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat apa yang saya ada hari ini. Oh ya, pakcik dan makcik nak ke mana tengah tengah panas ni?” Ahmad menyembunyikan soalan sebenar untuk bertanyakan hal keadaan Ros yang lama tidak didengarnya. “Engkau hantarkan kami ke perkuburan di hujung kampung tu,” pinta si suami. “Kubur? Tapi pakcik dan makcik nak lawat pusara siapa?” tanya ahmad kebingungan. “Kubur si Rosnah,” ringkas. “Rosnah? Tapi...”Ahmad tidak sempat meneruskan kata-katanya. “Ya nak, Rosnah meninggal selepas sebulan dia memberitahu kau yang dia akan bernikah dengan Azlan. Sebenarnya dia mengidap barah yang kronik. Dia tidak mahu menghampakanmu dan membuat kamu terluka sekiranya berkahwin denganmu. Dia terpaksa mereka cerita bahawa dia akan bernikah agar kamu berasa marah dan bekerja lebih keras untuk berjaya. Nah, lihatlah keadaanmu sekarang. Pakcik rasa pasti roh Rosnah tenang melihatkan kau seperti ini sekarang. Kita ziarah kuburnya sama-sama ye nak,” lembut suara ayah Rosnah. Ahmad terpempan.

April 7, 2009


Siapa kite semalam??


Jumaat lepas time kat masjid usai solat tahiyyatul masjid, saya menghulur tangan ke orang sebelah. "Eh, Pak Latip," hampir2 jer aku x terkontrol suaraku. Pak Latip terus genggam tanganku sambil menepuk bahuku. Terperasan beberapa pasang mata memandang kami, aku terus berbisik, "Ape Pak Latip wat kat Kuala Selangor?" "Saya jadi jurulatih kursus BTN kat kem Kristal. Pak Husin ngan Pak Mail pun ada," suara Pak Latip tetap macam dulu, 4 tahun dulu, ketika aku meninggalkan Yadim. Selesai solat, Pak Husin dan Pak Mail merapati kami. Aku tau dorang excited sgt jumpe aku kali ni. Ntahlah, agak2nye kalau bukan kat mesjid mesti dorg nak timang2 aku. Sebabnye? Haaaa, sbbnye kami byk sgt bekerjasama menganjurkan program Yadim dulu. The close relation and bondage menjadikan aku seperti anak kpd mereka semua, bukan 3 orang jurulatih ni jer, ramai lagi jurulatih BTN.


Sabtunya, aku sms Arep, Senior Federal Counsel kat Putrajaya. Saje jer nak mengacau anak bujang ni pepagi. Biasenye dia ni kalau tak sibuk memilih bantal nak meneruskan peniduran, beliau akan bershopping ke KL. Heh, tengah hari barulah dia reply, sah dia membute td. Katenye dia tgh meng'ejas' boss dia, mintak transfer ke KB sbb ayahanda beliau sakit2. Aku mintak dia bersabar dan doakan ayahnye cpt sihat. Dia reply, "Thanks bro. U're my bestfriend".


Malamnye kene bertugas kat majlis DO kat Shah Alam. Sementara menunggu en Najib sampe, aku sms Saudara Majoi, wishing him happy b'day. Dia reply, "Ko masih ingat b'day aku ek, tq2. Kite kawan selamanye ek". Terharu. Then, aku call Iwan. Dgr2nye dia baru kehilangan bonda few days back. Tp, how to start the conversation ek? Ye...tanyelah pasal trip dia ke Makassar. dia pon ceritelah serba sedikit and terus mintak maaf sbb x jwb call aku ituhari sbb busy menguruskan kenduri tahlil arwah bondanya. Aku ucap takziah. Teringat kat ustazah Halimah (bonda Iwan), orgnye rajin melayan kekawan anaknye kalau dtg. Terel bercakap almaklum bekas YB. X sombong dan rajin berjalan, alfatihah wat arwah. Tp aku xnak end the conversation with sad ending, so aku mintak Iwan pass the phone kpd anaknya. wah, petah tol budak tu bercakap. And I know where that's kid got the telent, tgklah mak bapak dia....


And by sunday as I woke up, I wonder, "I am so lucky to be who I am today. As my life yesterday circled with beautiful memories, wonderful experience and awful people like u all, my readers. Thanks" Sob sob, emolah plakkkk

April 3, 2009


Luka yang besar sembuh dengan ubat yang kecil...

Kisah bermula dengan Puan Lina yang sugul atas kematian anak sulungnya yang sedang belajar di luar negara. Sebagai jiran, Puan Mimi bercadang untuk menghiburkan hati Puan Lina yang sedang dirundung walang. Lalu Puan Mimi mula memasak masakan kegemaran jirannya itu. Sekonyong anaknya, Adik, bertanya apakah yang sedang dibuat oleh si ibu,”Ibu, apakah yang sedang ibu buat?” “Ibu sedang memasak makanan kegemaran jiran kita,” jawab si ibu lembut.”Tapi, kenapa bu?” “Puan Lina sedang bersedih, hatinya luka. Kita kenalah menolong meringankan kelukaannya, sayang,” masih lembut suara si ibu.

Adik berfikir sendiri,”Adik pun mesti tolong Untie Lina merawat lukanya.” Tetapi apalah yang mampu dilakukan oleh Adik yang baru berumur tiga tahun. Adik keluar menuju ke rumah Puan Lina. “Assalamualikum, untie, ini Adik,” Adik memberi salam sopan. “Ada apa Adik?” jawab Puan Lina lemah.”Untie, Adik dengar untie terluka. Ini Adik ada bawa plaster untuk mengubat luka Untie. Adik harap untie akan cepat sembuh dan gembira. Bolehlah kita bermain-main seperti dulu,” jawab si anak kecil petah. Tergamam Puan Lina mendengar kata-kata Adik. Menggeletar tubuhnya mendengar keikhlasan dan ketulusan anak kecil ini. “Sungguh dari tubuh yang kecil di hadapan aku ini akan tumbuh hati yang besar. Kalaulah si kecil ini boleh berusaha memadam kesedihanku, maka selayaknya aku yang dewasa ini lebih kuat menghadapi dugaan ini,” bisik hati Puan Lina dengan penuh tekad. Lantas dicapainya gugusan kunci yang tergantung foto anaknya yang telah meninggal dunia dan diganti dengan plaster yang dibawa oleh Adik. “Mulai hari ini aku akan melihat plaster ini setiap kali teringat akan anakku,” tekad hatinya. “Terima kasih, Adik. Adik telah menyedarkan Untie betapa luka yang besar selalunya boleh disembuhkan dengan ubat yang kecil,” ucap Puan Lina seraya memeluk erat anak kecil yang bijak itu.